Disangka anak kucing, rupanya bayi perempuan dalam kotak

Iklan
Bayi perempuan diletakkan di dalam kotak ditemui di atas rak lauk pauk di sebuah gerai di Taman Perindustrian Taman Kota, Yong Peng. Foto Facebook Ling Tian Soon (Gambar kecil: Salzura)

BATU PAHAT - Seorang peniaga gerai di kawasan perindustrian Taman Kota, Yong Peng di sini, terkejut apabila kotak disangka berisi anak kucing yang diletakkan di atas rak lauk rupanya seorang bayi.

Salzura Abd Rahman, 42, berkata, dia menemui bayi yang cukup sifat itu ketika hendak membuka gerai bersama anak lelakinya, Danis Syahputra Mohamad Saipol, 17, pada jam 5 pagi Isnin.

Iklan
Iklan

"Terdapat sebuah kotak diletakkan di atas rak tempat meletakkan lauk pauk. Pada mulanya, saya sangka ada orang membuang anak kucing kerana lokasi ini kerap dijadikan tempat untuk meletakkan binatang peliharaan.

"Bila saya buka kotak nampak kakinya terangkat, rupanya ada bayi. Terus badan saya menggigil," ujarnya ketika ditemui di gerainya.

Iklan

Jelas Salzura, dia segera membuat laporan polis dan bayi terbabit diserahkan kepada Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk pemeriksaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, bayi perempuan itu ditinggalkan dalam keadaan sihat tanpa sebarang kesan kecederaan fizikal.

Iklan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan polis.

"Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Batu Pahat, Inspektor Nurul Aqila Che Ali di talian 011-55882109 atau mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Penemuan bayi turut mendapat perhatian Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng yang turut berkongsi penemuan bayi tersebut di laman Facebooknya.

Beliau melahirkan rasa kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pelaku.

"Kita semua adalah manusia yang memiliki hati nurani, perikemanusiaan dan mengasihani sesama makhluk.

"Apakah tergamak seorang manusia sanggup memperlakukan manusia lain sebegini rupa. Ini adalah pengajaran buat kita semua, moga semua ambil iktibar," tulisnya.