Awaludin dalang penipuan Gigamax libat kerugian RM7.25 juta, enam lagi diburu

Iklan
Ramli menunjukkan gambar tujuh individu yang dikesan bagi membantu siasatan berkaitan penipuan pelaburan. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan mata wang kripto Gigamax melibatkan kerugian lebih RM7.25 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Awaludin dipercayai berperanan sebagai dalang manakala enam lagi warga tempatan bertindak sebagai penceramah dan kripto trail.

Iklan
Iklan

"Individu lain yang dikesan adalah dua kepimpinan tertinggi sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Benjamin al Sharif dan Mohd Norizwan Ali, Mohamad Sufi Abd Razak, Muhd Firdaus Khadri dan Risman Muhd Yatim," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ di sini, pada Selasa.

Ramli berkata, seorang lagi yang dikesan iaitu Muhamad Nizam Sahar dipercayai telah melarikan diri ke Dubai.

Iklan

"Kesemua mereka berusia 38 hingga 48 itu dikesan bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan tersebut.

"Kita percaya enam lagi individu termasuk warga Indonesia masih berada dalam negara," katanya.

Iklan

Ramli berkata, setakat ini sebanyak 101 laporan polis diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, polis menahan 11 individu termasuk dua wanita berusia 34 hingga 59 tahun berkaitan kes terbabit menerusi Operasi Nuri-Gigamax di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang,Kelantan, Terengganu dan Melaka pada 13 November lalu.

Gigamax merupakan platform yang berfungsi sebagai broker mata wang kripto yang menjadi medium antara pelabur dan pasaran kripto.

Platform itu diperkenalkan dan dipromosikan pada awal Julai 2022 oleh akademi yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

NGO berkenaan menyediakan kaedah pendidikan dalam bentuk 'blockchain' dan decentralization finance.