Haram pasang magnet, ubah suai meter elektrik

Iklan
HUKUM memasang magnet atau mengubah suai meter elektrik bagi menjimatkan bil adalah haram kerana perbuatan itu dilihat sebagai helah untuk menipu dan mengambil sesuatu tanpa keizinan pemilik asal. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

DEMI mengurangkan bil elektrik, terdapat segelintir orang memilih untuk mengubah suai meter atau memasang magnet pada meter elektrik berbanding melakukan langkah penjimatan lain.

Ketahuilah, perbuatan itu bertentangan dengan syariat Islam kerana tujuan dilakukan adalah untuk memperoleh harta dengan cara yang salah atau tanpa keizinan pemilik harta berkenaan.

Iklan
Iklan

Bahkan, tindakan tersebut dianggap sebagai mencabuli undang-undang setempat.

Demikian komentar Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang perilaku tersebut menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-876: Hukum mengubah suai meter elektrik.

Iklan

Mengulas lanjut, dalam al-Quran, terdapat larangan ke atas orang beriman daripada memakan atau mengambil harta orang lain secara batil.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT:"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kami dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)

Iklan

"Menurut At-Tabari, ayat itu bermaksud larangan daripada memakan atau mengambil harta orang lain secara batil iaitu bukan menggunakan cara yang diharuskan oleh ALLAH SWT.

JIKA mahu mengurangkan bil elektrik, lakukanlah dengan cara dibenarkan iaitu mengambil langkah-langkah penjimatan seperti menetapkan had penggunaan alatan elektrik di rumah, sentiasa menutup suis apabila tidak digunakan dan sebagainya. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

"Sementara itu, Al-Maraghi dalam satu tafsiran terhadap kalimah batil pada ayat tersebut menyatakan, ia termasuklah juga tidak mendapat keredaan atau keizinan daripada pihak pemilik asal harta berkenaan.

Menguatkan lagi fakta itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian mengemukakan sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang melakukan penipuan, maka dia bukanlah termasuk dalam kalangan kami. Balasan yang menimpa ke atas golongan yang melakukan tipu daya dan muslihat adalah ditempatkan dalam neraka.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Ini kerana perbuatan itu dilihat sebagai helah untuk menipu dan mengambil sesuatu tanpa keizinan pemilik asal.

"Kami menasihatkan kepada seluruh masyarakat supaya mengambil langkah-langkah penjimatan elektrik seperti menetapkan had penggunaan alatan elektrik di rumah dan sentiasa menutup suis apabila tidak digunakan.

"Selain itu, boleh juga kurangkan kadar penggunaan alatan yang memerlukan jumlah kuasa elektrik yang tinggi dan lain-lain untuk mengurangkan bil elektrik secara bulanan,” katanya.