'Geng Heri' lumpuh, polis buru Peja

Iklan
Yahaya (depan, kiri) bercakap pada sidang akhbar berhubung kejayaan polis menumpaskan kumpulan samun yang dikenali sebagai 'Geng Heri' di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong hari ini. Foto Bernama

BENTONG - Polis menumpaskan geng samun bersenjata dikenali ‘Geng Heri’ yang dipercayai bergerak aktif di sekitar Lembah Klang dan daerah ini berikutan penahanan lima individu dalam beberapa siri serbuan dari 8 hingga 15 Disember lepas.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua suspek berusia 27 hingga 34 tahun itu ditahan di sekitar Gombak, Selangor dan Setapak, Kuala Lumpur dalam operasi membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan seorang lagi suspek berusia 33 tahun dikenali sebagai Peja.

"Kesemua suspek diburu selepas menerima laporan daripada seorang warga Bangladesh yang menjadi mangsa samun geng ini pada 29 Oktpber lepas di kedai runcit miliknya di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong sekitar jam 1.45 pagi.

Iklan

"Mangsa mendakwa didatangi sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan besi selain turut menyamar sebagai polis sebelum bertindak menggari tangannya. Dalam kejadian itu, geng berkenaan telah mengambil sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM8,000, mengakibatkan mangsa kerugian RM9,500,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Bentong hari ini.

Yahaya berkata, modus operandi kumpulan ini adalah dengan menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun mangsa dan menjadikan warga asing sebagai sasaran.

Iklan

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas tiga pucuk pistol dan satu daripadanya pistol angin manakala dua lagi jenis Pietro Beretta dan CZ 75D Compact serta 62 butir peluru pelbagai jenis yang dipercayai diperoleh dari negara jiran.

"Selain itu, kita juga merampas tiga bilah kerambit, sebilah pisau dan sebuah motosikal Yamaha. Ujian air kencing dijalankan terhadap lima suspek itu mendapati empat daripadanya positif dadah jenis amphetamine.

"Kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah serta kes jenayah lain dan mereka kini direman hingga hari ini dan Jumaat ini," katanya.

Yahaya berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. - Bernama