Perak FC gagal sekat kemaraan Selangor FC di Manjung

Iklan
Antara aksi perlawanan Liga Super di antara Perak FC dengan Selangor FC di Stadium MPM di sini pada Selasa. Foto SELANGOR FC

KEBANGKITAN minit akhir Perak FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) gagal menyekat kemenangan Selangor FC apabila tewas 1-2 dalam saingan Liga Super pada Selasa.

Perak FC bermula garang dengan percubaan seawal minit pertama melalui umpanan kapten pasukan, Wan Zack Haikal kepada Adilet Kanybekov namun tendangannya tersasar ke penjuru kanan gawang Selangor FC

Iklan
Iklan

Selangor FC terpaksa membuat pertukaran awal dengan memasukkan Alex Agyarkwa menggantikan pemain import mereka, Yohandry Orozco yang mengalami kecederaan pada minit ke-8.

Penguasaan perlawanan dilihat memihak kepada pasukan lawan dengan beberapa percubaan namun pertahanan Perak FC, Jasper Nyholm dan Tommy Mawat berjaya menyekat serangan lawan.

Iklan

Peluang terbaik Perak FC menjaringkan gol muncul pada minit ke-28 menerusi Wan Zack selepas menyambut hantaran Tommy Mawat namun bola terus ke penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz yang menyelamatkan gawang dari dibolosi.

Pada minit ke-41, Selangor FC berjaya membuka tirai jaringan menerusi rembatan Alvin Fortes selepas menyambut hantaran sebelah kanan oleh Quentin Cheng.

Iklan

Mengakhiri 45 minit pertama perlawanan menyaksikan Perak FC ketinggalan 0-1 dengan Selangor FC.

Bersambung babak kedua, Perak FC dilihat agresif mengatur gerak bagi mencari gol penyamaan.

Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan pada minit ke-55 oleh pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin ke atas pemain Selangor FC, Nooa Laine.

Perak FC membuat penggantian pertama pemain dengan mengeluarkan Azfar Fikri dengan diganti dengan Firdaus Sayadi.

Selang beberapa minit kemudian, kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin pula dilayangkan kad kuning kedua perlawanan selepas mengasari Wan Zack.

Kalamullah beraksi cemerlang menyelamatkan beberapa serangan bertali arus menerusi percubaan sepakan bebas pemain tuan rumah, Wan Zack dan rembatan Aiman Yusni.

Pelawat terus mengukuhkan kedudukan pada minit ke-71 sekali lagi menerusi jaringan Fortes hasil umpanan Agyarkwa sekali gus mengubah kedudukan 2-0.

Ketika permainan menghampiri minit ke-89, Wan Zack berjaya merapatkan jurang setelah menewaskan penjaga gol Selangor FC dengan jaringan pertama Perak FC hasil hantaran Firdaus.

Di sebalik keghairahan anak buah Yusri Che Lah memburu jaringan penyamaan pada minit-minit akhir, Perak FC hampir dihukum lawan menerusi jaringan Quentin namun gol tersebut dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) berlaku insiden 'faul' membabitkan Zikri Khalili ke atas Farris Izdiham.

Tamat perlawanan menyaksikan Selangor FC berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas mengekalkan keputusan 2-1 menewaskan Perak FC.