SHAH ALAM - Kemampuan negara menuju ke arah negara maju tidak dapat disangkal berdasarkan unjuran ekonomi yang positif pada kadar empat hingga lima peratus secara konsisten setiap tahun.
Bagaimanapun, Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, usah terburu-buru mengejar status negara maju sebelum negara berjaya mengimbangi beberapa faktor penting yang boleh dijadikan kayu pengukur sebenar.
"Pakar ekonomi berpendapat rakyat akan dapat menikmati taraf kehidupan lebih baik berikutan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menawarkan pendapatan lumayan jika berjaya capai status negara berpendapatan tinggi.
"Mengikut Bank Dunia, klasifikasi utama digelar negara maju adalah wilayah geografi, kumpulan pendapatan dan kategori pinjaman operasi Kumpulan Bank Dunia,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, ekonomi maju lazimnya merupakan ciri negara maju dengan tahap pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tinggi.
"Kriteria menilai tahap pembangunan ialah pendapatan per kapita atau keluaran dalam negara kasar per kapita, tahap perindustrian, taraf hidup dan jumlah infrastruktur teknologi.
"Faktor bukan ekonomi pula seperti indeks pembangunan manusia, yang mengukur tahap pendidikan, celik huruf dan kesihatan untuk menilai ekonomi atau tahap pembangunan.
"Kemakmuran ekonomi meliputi pelbagai aspek holistik. Ia tidak diukur hanya dengan mencapai pendapatan negara kasar per kapita sebanyak AS$14,000,” katanya.
Ujarnya, negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Kanada, Jerman, Jepun, Korea Selatan merupakan pemilik teknologi tinggi dalam pelbagai produk daripada barangan rumah hingga barangan berteknologi tinggi.
Mohd Azwardi berkata, dari segi jurang pendapatan antara kelas ekonomi juga tidak jelas.
Menurutnya, sistem pendidikan negara juga belum mencapai tahap terbaik dengan 122,000 murid Tahun Satu belum menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M).
"Berdasarkan data Bank Dunia, lebih satu perempat pemegang ijazah di Malaysia bekerja dalam bidang pekerjaan yang tidak setaraf kelayakan mereka, selain sukar peroleh pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.
Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, aset keselamatan negara pula disifatkan lapuk malah pakar pertahanan turut bimbang dengan kemampuan negara menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
"Negara perlu berusaha mengubah teras ekonomi daripada pengimport kepada pengeksport teknologi.
"Kita perlu kenal pasti teras kecekapan negara. Contohnya, industri minyak dan gas menyaksikan hampir semua perkakasan dan bahan binaan diimport dari negara maju.
"China merupakan ekonomi terbesar kedua dunia tetapi menolak status negara maju, Malaysia perlu berusaha menjadi seperti China yang pertahankan statusnya sebagai negara berkembang,” katanya.
Pada Rabu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai status negara maju menjelang 2027 hingga 2029.