Tabik Negeri Sembilan, tiada sambutan tahun baharu

Iklan
Keadaan banjir di beberapa kawasan penempatan penduduk yang terjejas di Dungun dan Kemaman baru-baru ini. Foto Bernama

TINDAKAN Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan tiada sebarang perancangan untuk menganjurkan sambutan ambang tahun baharu 2025 wajar disokong.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tindakan itu bagi menghormati mangsa banjir di negara ini termasuk di Negeri Sembilan.

Iklan
Iklan

Katanya, masjid dan surau masih boleh melakukan solat hajat dan bacaan Yasin bagi memohon perlindungan dan kesejahteraan rakyat.

Semua mengetahui setiap kali hujung tahun, negara kita akan menghadapi musibah banjir. Bencana ini bukan sahaja merosakkan harta benda tetapi turut meragut nyawa penduduk terjejas.

Iklan

Terbaharu, banjir gelombang ketiga diramal akan berterusan sehingga Khamis ini terutama di Terengganu berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat.

Sebanyak 44 kampung di empat daerah iaitu Kemaman, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu dijangka berisiko dinaiki bah.

Iklan

Manakala di Kelantan, hampir 37 kampung yang terletak dalam radius lima kilometer berhampiran beberapa sungai di Kuala Krai dijangka mengalami banjir hingga Rabu ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan selama tiga hari dijangka berlaku di empat negeri hingga Rabu.

Dalam situasi ini, semua pihak perlu memberi fokus kepada usaha membantu mangsa banjir kerana bantuan segera dalam bentuk makanan, pakaian dan peralatan pembersihan amat diperlukan bagi memulihkan kehidupan mereka yang terjejas.

Adalah wajar untuk setiap pihak mengambil pendekatan yang sama seperti Negeri Sembilan.

Ini juga mampu mengelakkan pembaziran yang tinggi terutama dalam keadaan mangsa banjir lebih memerlukan bantuan khusus dalam membersihkan rumah yang ditenggelami air lumpur.

Wang yang sepatutnya digunakan untuk penganjuran sambutan boleh disalurkan kepada tabung mangsa banjir bagi meringankan beban mereka.

Sebagai alternatif, sambutan yang lebih signifikan seperti ambang kemerdekaan pada 31 Ogos boleh diutamakan.

Sambutan ini bukan sahaja lebih bermakna, malah dapat mengingatkan rakyat tentang nilai perpaduan, kemerdekaan dan pengorbanan dalam membina negara.

Masyarakat pula diseru untuk terus bersolidariti, menghulurkan bantuan serta mendoakan agar keadaan cuaca bertambah baik dan mangsa banjir diberikan ketabahan menghadapi ujian ini.