SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) kini menyediakan buku rawatan berbentuk digital bagi memudahkan urusan pemeriksaan kesihatan jemaah musim 1446H/2025M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, hasil transformasi digital Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji (BRRJH) dapat menjimatkan masa dan tenaga bakal haji di samping memastikan rekod kesihatan mudah diakses semasa di Tanah Suci.
Menurutnya, proses menjawab tawaran haji kini lebih mudah berbanding sebelum ini di mana bakal haji yang menerima surat tawaran melalui aplikasi THiJARI dikehendaki hadir ke pejabat cawangan terdekat bagi mendapatkan BRRJH secara fizikal.
"Pada tahun ini, tiada keperluan lagi untuk hadir ke pejabat cawangan untuk mendapatkan BRRJH sebaliknya mereka boleh membuat semakan menerusi aplikasi THiJARI dan memuat turun surat tawaran tunai haji melalui laman web THiJARI, www.thijari.com.my.
"Seterusnya, mereka boleh melakukan pemeriksaan kesihatan di fasiliti kesihatan yang mempunyai Pegawai Perubatan yang berdaftar dengan TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dikehendaki untuk membawa bersama kad pengenalan dan Surat Tawaran Tunai Haji (‘softcopy / hardcopy’)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, TH mengumumkan bayaran haji bagi kumpulan B40 dan M40 tahun ini naik 20 peratus susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan perkhidmatan di Tanah Suci.
Syed Hamadah berkata, kadar bayaran melibatkan jemaah haji muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah suci tersebut buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada tahun lalu.
Ujar beliau, bayaran haji kumpulan M40 pula ialah RM23,500 berbanding RM19,152 seorang pada tahun lalu.
Tambah Syed Hamadah, setelah selesai pemeriksaan kesihatan, bakal haji akan menerima notifikasi mengenai status kesihatan melalui sistem pesanan ringkas (SMS), email dan di aplikasi THiJARI.
Jelasnya, seusai itu, bakal haji boleh melengkapkan proses terimaan tawaran haji melalui laman web THiJARI.
"Proses pengisian maklumat oleh bakal haji dan Pegawai Perubatan juga semuanya dilakukan dalam sistem yang diintegrasikan bersama sistem dari KKM untuk mendapatkan butiran penuh tahap kesihatan bakal jemaah serta status vaksinasi.
"Kini, bakal haji tidak perlu lagi untuk membawa BRRJH secara fizikal ke Tanah Suci kerana semua maklumat dan status kesihatan terkumpul di dalam satu sistem,
sekali gus dapat mengurangkan risiko kehilangan buku rekod tersebut," katanya.
Menurut beliau, pada tahun ini Kerajaan Arab Saudi masih mewajibkan bakal haji mengambil suntikan vaksin Meningococcal manakala individu berumur 65 tahun ke atas dan mempunyai penyakit komorbid atau mengalami masalah sistem imun lemah pula diwajibkan untuk mengambil vaksin Meningococcal, Influenza serta Covid-19.
"Buat masa ini, bakal Haji disarankan untuk mengambil suntikan vaksin Meningococcal dan Influenza setelah lulus pemeriksaan kesihatan. Manakala
bagi vaksin Covid-19, pemakluman mengenai suntikan vaksinasi tersebut akan dimaklumkan oleh TH atau KKM kemudian.
"Proses penambahbaikan ini merupakan usaha berterusan TH kepada bakal jemaah haji untuk menjimatkan masa, tenaga dan memudahkan urusan bakal jemaah haji dalam proses persiapan menunaikan haji pada tahun yang akan datang," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, TH sentiasa menitik beratkan tentang kemudahan para pendeposit terutamanya dalam proses persiapan menunaikan haji.
Ujarnya, jemaah haji tidak perlu lagi menunggu masa yang lama untuk berurusan dan membolehkan jemaah haji untuk memilih tarikh dan masa yang bersesuaian untuk membuat ujian kesihatan.