Wanita melintas jalan maut dirempuh kereta

Iklan
Keadaan kereta Perodua Myvi selepas merempuh wanita Bangladesh yang melintas di Jalan Kuantan Bypass berhampiran stesen minyak Shell, sekitar jam 11.50 malam, pada Selasa. Foto FB Polis Trafik Kuantan

KUANTAN - Seorang wanita warga Bangladesh maut selepas dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi ketika melintas di Jalan Kuantan Bypass berhampiran stesen minyak Shell, sekitar jam 11.50 malam, pada Selasa.

Mangsa, Neherima Sultana Nihamoni, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.

"Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Gelanggang Futsal menghala ke arah Indera Mahkota.

Iklan

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa secara tiba-tiba melintas jalan dari arah kiri ke tengah jalan menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya pada Rabu.

Wan Mohd Zahari turut meminta saksi kejadian tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

Iklan

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.