Dua maut, tiga cedera kemalangan di pusingan U

Iklan
Dua maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan jenis Mercedes Benz Hyundai Matrix di Jalan Lencongan Barat, Alor Setar pada malam Selasa.

ALOR SETAR - Dua maut, dua cedera parah manakala seorang cedera ringan selepas kenderaan jenis Mercedes Benz yang dinaiki mereka berlanggar dengan kenderaan jenis Hyundai Matrix di Jalan Lencongan Barat, di sini pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, kereta Mercedez Benz tersebut yang dinaiki lima mangsa berusia 18 tahun telah melanggar kereta Hyundai Matrix yang membuat pusingan U dari arah bertentangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis menerima panggilan awam sekitar jam 9.10 malam sebelum mengerahkan pasukan pegawai penyiasat trafik ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

"Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Mercedes yang dipandu dari arah Tol Alor Setar Selatan menghala ke Masjid Aman berlanggar dengan kenderaan jenis Hyundai Matrix yang sedang membuat pusingan U dari arah bertentangan.

Iklan

"Akibat perlanggaran itu, kenderaan Mercedes berpusing beberapa kali kira-kira 35 meter. Dua penumpang kenderaan tersebut, iaitu pemandu dan penumpang belakang yang masing-masing berusia 18 tahun, disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau, tiga penumpang lain mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Iklan

Menurutnya, dua daripada mereka dirawat di zon merah manakala seorang lagi dirawat di zon kuning.

"Pemandu Hyundai Matrix, lelaki berusia 74 tahun, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan kanan dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di daerah ini,” ujarnya.

Tambah Siti Nor Salawati, mayat kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis meminta kerjasama orang ramai, terutamanya saksi kejadian ini, untuk tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Mohd Lukmanul Hakim bin Mohd Fauzi, di talian 047321222 atau 0139964614 bagi membantu siasatan,” katanya lagi.