Rakyat Sabah banjiri Terminal 2 KKIA sambut Tun Musa

Iklan
Rakyat Sabah yang hadir ke pekarangan Terminal 2 KKIA untuk menyambut Tun Musa yang pulang ke Sabah pada Rabu.

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Ribuan rakyat Sabah membanjiri pekarangan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk menyambut ketibaan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.

Ketibaan Tun Musa dijangka pada jam 11 pagi dari Kuala Lumpur selepas beliau dikurniakan Surat Cara Pelantikan pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, pada Selasa.

Iklan
Iklan

Difahamkan, orang ramai sudah berada di pekarangan lapangan terbang seawal jam 8 pagi untuk menyambut ketibaan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah itu.

Salmiah

Menurut Salmiah Sharip Mabul, 46, dia yang tiba dari Lahad Datu menyatakan kehadirannya itu sebagai sokongan kepada TYT Sabah yang baharu, Tun Musa.

Iklan

"Kami datang awal di sini dan bergerak dari Lahad Datu semalam sebaik saja tahu Tun dilantik sebagai TYT yang baharu.

"Sebagai rakyat Sabah, saya bertuah kerana dulu beliau jadi Ketua Menteri banyak pembangunan telah dibawa ke Sabah, jadi apabila jadi TYT mudah-mudahan bertambah maju," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, seorang lagi rakyat Sabah, Mohd Subri Karim, 36, mengharapkan perubahan positif kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Mohd Subri

"Semoga mendapat sokongan daripada barisan kabinet Sabah supaya tiada masalah mendatang dari segi politik dan sebagainya," katanya.

Mohd Subri yang berasal dari Sandakan meredah perjalanan selama enam jam untuk ke Kota Kinabalu semata-mata menyatakan sokongan terhadap Tun Musa.

Malah untuk perjalanan ke Kota Kinabalu dengan menaiki kenderaan sendiri dia sanggup mengeluarkan kos kira-kira RM200 termasuk minyak kereta dan penginapan.

"Kami datang secara rombongan kira-kira 300 orang dengan menaiki kenderaan masing-masing," katanya.

Sebelum itu, Musa, 73, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025 selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepadanya pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, di Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.

Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.