PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino di Doha, Qatar pada Selasa.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook baginda, pertemuan itu bertujuan memberikan penerangan kepada Infantino mengenai projek skuad kebangsaan yang telah dimulakan oleh Tunku Mahkota Ismail.
Iklan
Iklan
"Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengadakan pertemuan dengan Gianni Infantino, Presiden FIFA pada 17 Disember 2024.
"Infantino telah diberi taklimat mengenai projek skuad kebangsaan di Malaysia yang dimulakan oleh DYAM Pemangku Sultan Johor dan ia juga mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia.
"Infantino turut menzahirkan kepercayaan inisiatif nasional tersebut yang dikemudi DYAM Pemangku Sultan Johor dan bersetuju untuk memberikan sokongan kepada Malaysia dari segi penyelidikan, infrastruktur dan pembangunan. ALLAH Peliharakan Sultan," kata kenyataan di laman Facebook baginda.
Sebelum ini, projek penstrukturan semula pasukan kebangsaan telah pun bermula dengan pelantikan dua individu penting iaitu pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih bawah 23 tahun (B-23) negara.
Selain pelantikan dua jurulatih tersebut, skuad negara juga akan mempunyai struktur pengurusan baharu dengan jawatan ketua pegawai eksekutif dan pengarah teknikal akan diumumkan dalam masa terdekat.