PETALING JAYA - Grab Malaysia dengan kerjasama Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) komited memperkasa pendidikan bagi semua golongan dalam negara selain menumpukan kepada pembangunan negara.
Melalui biasiswa GrabScholar-YTAR, pendidikan menjadi teras sebagai pemangkin untuk mobiliti antara generasi dan transformasi masyarakat.
Biasiswa ini memberi penekanan untuk mengenal pasti, memilih dan memperkasa pelajar yang berasal daripada pelbagai latar belakang di Malaysia, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik.
Tahun ini, sejumlah 6 pelajar menerima sokongan kewangan meliputi yuran pengajian, elaun bulanan dan tahunan serta bantuan secara one-off bagi menampung perbelanjaan lain seperti pembelian komputer riba, kos tesis, pakaian formal atau penerbangan.
Jamie Jesseryl Maxwell Anak James, 22, menyifatkan biasiswa GrabScholar-YTAR ini memberikan dirinya peluang untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Media di Universiti Malaya (UM).
Beliau yang juga anak kelahiran Kuching, Sarawak mengakui terpaksa menempuhi jalan sukar bagi mendapatkan biasiswa sebelum menyambung pengajian memandangkan terdapat beberapa syarat ketat yang dikenakan selain masalah kewangan keluarga.
"Jadi, saya melihat perkara ini yang membuatkan saya terbuka hati untuk memilih GrabScholar-YTAR. Selain itu, antara perkara yang membuatkan saya memilih biasiswa ini adalah mereka tidak mengenakan sebarang bon seperti biasiswa lain.
"Pada masa sama, mereka juga memberikan penerima biasiswa satu projek komuniti supaya kami boleh berkhidmat dan memberi semula kepada masyarakat sebagai pendedahan awal untuk kami kepada dunia luar,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Selain itu, Jamie turut teruja dengan manfaat biasiswa yang diberikan oleh GrabScholar-YTAR disebabkan ia menampung hampir keseluruhan pengajiannya selain memberi pendedahan awal kepada alam pekerjaan sebagai persiapan diri.
"Sebagai pulangan selaku penerima biasiswa ini, GrabScholar-YTAR memberikan pendedahan awal untuk kami di alam pekerjaan melalui latihan industri selama tiga bulan bersama mereka pada bila-bila masa, sama ada semasa pengajian atau selepas pengajian.
"Pada saya, langkah ini sangat penting dan bagus bagi kami kerana dapat mempersiapkan diri agar tidak mendapat kejutan budaya kerana beban kerja yang banyak selain mendapat pengalaman awal dalam dunia pekerjaan.
"Selain itu, kami juga tidak ditekankan dengan syarat untuk perlu mendapatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang tinggi, sebaliknya hanya pada nilai 3.0 sahaja. Mereka juga menyediakan sesi kaunseling sekiranya kami tidak dapat memenuhi syarat tersebut agar kami terus menimba ilmu,” katanya.
Sementara itu, anak kepada rakan-pemandu Grab kelahiran Selayang, Selangor, Manreet Kaur Gill Charanjit Singh, 19, berkata, pelan jangka masa panjang oleh GrabScholar-YTAR untuk penerima biasiswa membolehkannya membentuk jati diri di masa hadapan.
"Sebelum menerima biasiswa ini, kami disoal mengenai antaranya apakah perancangan kami di masa hadapan, bagaimana kami boleh membantu generasi muda, apakah kaedah mengatasi isu sosial.
"Jadi, kami memerlukan banyak idea dan pemikiran baharu serta pengetahuan am tentang isu semasa kerana biasiswa ini ingin membentuk masyarakat yang boleh bantu membangunkan negara bermula dengan masyarakat sehingga peringkat nasional,” katanya.
Selain itu, Manreet yang juga penuntut Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, tanggapan pertamanya terhadap GrabScholar-YTAR adalah ia bukan hanya menumpukan kepada aspek pendidikan semata-mata malah turut memberi penekanan kepada pembangunan pelajar.
"Saya teruja melihat kerjasama ini kerana saya tahu bahawa struktur biasiswa ini sangat besar. Sebagai contoh YTAR banyak melaksanakan persidangan kepimpinan dan program-program lain ditambah pula dengan Grab melalui program mentor-mentee dan latihan industri.
"Jadi, saya merasakan ini peluang yang sangat besar dan membantu untuk mereka yang terpilih bagi pembangunan diri dan program kerjasama itu meliputi secara komprehensif dari semua aspek sebagai seorang pelajar,” katanya.