KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) menumpaskan pelbagai kes jenayah termasuk penyeludupan haiwan membabitkan nilai keseluruhan rampasan mencecah hampir RM1 bilion, pada tahun ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kejayaan itu diperoleh melalui operasi berterusan dijalankan pasukan di bawah JKDNKA.
"Cawangan Perisikan Siasatan Khas (WCB) menerusi Op Bersepadu Khazanah, Op Tiris, Op Kontraban dan Op E-Waste berjaya menyelesaikan 136 kes membabitkan penahanan 387 orang serta rampasan berjumlah lebih RM434 juta," katanya dalam ucapan di Majlis Perhimpunan Bulanan anjuran JKDNKA di Bukit Aman di sini, pada Rabu.
Razarudin berkata, WCB turut bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan United Nation Development Programmed (UNDP) bertujuan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan.
"Ia bagi membanteras jenayah hidupan liar dan pemuliharaan spesies haiwan ikonik khususnya Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia, banteng di Sabah serta orang utan di Sarawak," katanya.
"Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) pula menghasilkan RM37.1 juta melalui pelbagai rampasan dan tangkapan bagi 34 serbuan sepanjang tahun ini, manakala Pasukan Polis Marin (PPM) menghasilkan RM210 juta nilai rampasan dan saman menerusi 7,103 kes jenayah di perairan," katanya.
Mengulas lanjut, Razarudin memaklumkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) yang dibangunkan untuk mengukur kesejahteraan rakyat dari perspektif ekonomi dan sosial mencatatkan 121.3 mata pada tahun lalu.
"Ia meningkat 0.7 peratus berbanding 120.4 mata tahun sebelumnya, manakala salah satu komponen dalam subkomposit sosial iaitu Indeks Keselamatan Awam didapati merosot 127.6 mata (2023) berbanding 129.3 mata (2022)," katanya.
Beliau berkata, penurunan terbabit disebabkan oleh peningkatan bilangan kemalangan jalan raya dan kenaikan kadar jenayah.
"Saya menyeru semua warga PDRM untuk bertekad dan terus komited melipatgandakan usaha meningkatkan keberkesanan penugasan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.
"Ia sekali gus memastikan keselamatan negara berada pada tahap yang optimum," katanya.
Pada majlis berkenaan, Razarudin menyampaikan sijil penghargaan kepada 73 pegawai dan anggota yang berjaya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab serta cemerlang.
"Saya menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada 51 anggota PDRM yang dianugerahkan Sijil Tolak Rasuah PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Lebih membanggakan saya, 11 orang daripada jumlah tersebut, merupakan penerima Sijil Tolak Rasuah SPRM," katanya.