Van pink keluar Pangkor hantar bantuan banjir

Iklan
Peserta konvoi Misi Bantuan Banjir 2024 ke Kampung Derang, Alor Setar bersama Norhaslinda (tengah) sebelum berlepas ke Kedah dari Marina Island di sini pada Rabu.

LUMUT - Terkesan dengan bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Kedah, Persatuan Teksi Van Pink Pangkor menjalankan Misi Bantuan Banjir 2024 ke Kampung Derang, Alor Setar pada Rabu.

Pengerusi Persatuan Teksi Van Pink Pangkor, Muhammad Apendi Ramlli berkata, misi tersebut merupakan cetusan daripada ahli-ahli persatuan yang simpati dengan nasib mangsa-mangsa banjir susulan bencana itu baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia kali kedua diadakan selepas pertama kali mereka menghantar bantuan ke Kelantan dari 9 hingga 13 Disember lalu.

Konvoi van berwarna merah jambu yang pertama kali keluar dari Pulau Pangkor bagi Misi Bantuan Banjir 2024 ke Kampung Derang, Alor Setar, Kedah.

"Sebelum ini kita cuma buat kutipan sesama ahli dan serahkan kepada NGO (pertubuhan bukan kerajaan), tetapi kali ini kita sendiri hantar dan pertama kali kita bawa keluar van pink ini dari Pulau Pangkor menuju ke lokasi bantuan.

Iklan

"Misi kali ini melibatkan tiga buah van pink, empat buah kereta, lima buah motosikal, sebuah ambulans dan sebuah lori dengan muatan barang-barang bantuan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Muhammad Apendi berkata, sebanyak 200 bungkusan terdiri daripada makanan dan pakaian yang dibawa dari Pulau Pangkor untuk diserahkan kepada mangsa banjir.

Iklan

Menurutnya, barang-barang yang dibawa itu merupakan sumbangan daripada pengusaha-pengusaha hotel sekitar Pulau Pangkor serta ahli-ahli persatuan yang terdiri dalam kalangan pelbagai kaum.

Katanya, konvoi pertama kali mereka dalam misi bantuan ke Kedah itu melibatkan penyertaan seramai 34 orang petugas dan sukarelawan bagi melancarkan proses agihan sumbangan itu.

Norhaslinda memberikan sokongan kepada peserta konvoi Misi Bantuan Banjir 2024 ke Kampung Derang, Alor Setar, Kedah.

Dalam pada itu, Muhammad Apendi menyatakan komitmen untuk meneruskan misi bantuan berkenaan pada masa akan datang jika ia terus mendapat sokongan.

Menurutnya, ia dilihat penting bagi menyatakan solidariti terhadap mangsa-mangsa yang terkesan dengan bencana selain membantu meringankan beban.

Terdahulu, konvoi 14 kenderaan itu dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria di kawasan Jeti Marina Island di sini.