KUANTAN - Harga sayur-sayuran tempatan mencatatkan kenaikan sehingga 150 peratus dalam tempoh dua minggu ini, memberikan kesan besar kepada peniaga dan pengguna di daerah ini.
Kenaikan harga itu melibatkan pelbagai jenis sayur berdaun dan berbuah, susulan kerosakan tanaman akibat banjir yang melanda baru-baru ini.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Kuantan pada Rabu mendapati kebanyakan peniaga menjangka situasi ini akan berlarutan sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) sehingga penghujung Januari tahun depan.
Peniaga sayur, Yusaini Arif Abu Bakar, 54, berkata, kenaikan paling ketara adalah pada harga sayur berdaun seperti bayam, kangkung, sawi, kailan, dan daun sup.
"Bayam merah, kalau dulu dijual sekitar RM4 hingga RM5 sekilogram, tapi sekarang naik ke RM12, Kangkung pula daripada RM3 atau RM4, kini mencecah RM10 sekilogram.
"Sayur (jenis) berbuah pula seperti labu air, terung, peria, dan timun tua juga mengalami kenaikan sekitar 100 peratus,” katanya.
Yusaini yang berpengalaman hampir 32 tahun dalam perniagaan sayur memberitahu faktor utama kenaikan harga ini ialah kekurangan bekalan akibat kerosakan tanaman selepas banjir.
"Sebelum banjir, masih ada stok dari kebun, tapi banjir, banyak tanaman rosak dan bekalan berkurangan.
"Bila bekalan kurang, pembekal naikkan harga, jadi perkara biasa kami peniaga lalui setiap tahun, lebih-lebih lagi (dalam keadaan) cuaca tak menentu,” jelasnya.
Senada dengan itu, Tan Siew Kim, 60, turut mendakwa kenaikan harga barangan hasil tanaman di Cameron Highlands yang mungkin terjejas disebabkan MTL.
"Harga naik sejak dua minggu lepas dan akan kekal tinggi sehingga Januari. Barang kurang tapi harga naik.
"Namun, sayur import seperti kobis, bunga kubis, dan cili merah import masih stabil,” katanya yang sudah 45 tahun berniaga sayur-sayuran di bandar ini.
Siew Kim berkata, pelanggan berhak memilih untuk tidak membeli sayur, sekiranya berasa mahal.
"Ada yang tidak mahu beli, tapi itu semua ikut pelanggan. Namun kami sebagai perniaga keadaan (kenaikan harga) sukar dielakkan," luahnya.
Bagi, pembekal sayur, A Francis, 55, memberitahu, kenaikan harga lebih tertumpu kepada sayur berdaun tempatan yang mudah rosak akibat hujan.
Jelasnya, bekalan sayur-sayuran sukar didapati dan terpaksa ke beberapa lokasi termasuk luar daripada Pahang.
"Kalau Kuantan kekurangan bekalan, kami terpaksa beli dari Kuala Lumpur. Begitulah sebaliknya (sukar dapatkan bekalan) pada musim ini (tengkujuh)" katanya.
Francis turut menjangkakan kenaikan harga ini akan berterusan sehingga Tahun Baharu Cina, sebagaimana yang lazim berlaku setiap tahun.
"Kita berharap cuaca kembali normal untuk menstabilkan bekalan dan harga serta situasi tidak berpanjangan agar pengguna tidak terus terbeban," ujarnya lagi.
Namun, di sebalik kenaikan harga sayur-sayuran moden, sayur kampung seperti pucuk paku dan ulam-ulaman kekal pada harga biasa, kata penjual sayur kampung, Azizah Awang, 67.
"Harga sayur kampung tak berubah. Saya jual pucuk paku dan ulam-ulam serendah RM2 satu ikat.
"Alhamdulillah, sambutan tetap baik kerana sayur kampung tidak terjejas dengan musim hujan,” katanya yang sudah 20 tahun berniaga di pasar.