JOHOR BAHRU - Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan menganiaya seorang bayi berusia tiga bulan yang diasuh pada Julai lalu.
Tertuduh, Monsinah Sapari, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas bayi lelaki berkenaan telah menganiayai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kuarters Guru, Jalan Tawakal, Kampung Melayu Kangkar Pulai di sini, antara jam 7.30 pagi hingga 12.44 tengah hari, 17 Julai lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 34(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam Mohammad Muzammil Mohamad Hairiri.
Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan dibuat di bawah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Namun, peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri yang mewakili tertuduh memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin.
"Tertuduh seorang isteri dan ibu kepada empat orang anak yang mana dua sudah bekerja dan dua lagi masih bersekolah. Dia merupakan suri rumah, namun untuk membantu menjana pendapatan, dia menjadi pengasuh kanak-kanak.
"Tertuduh ditanggung suaminya yang bertugas sebagai guru. Mereka mempunyai alamat tinggal tetap, jadi tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Januari depan untuk serahan dokumen.