'Pasrah jika hidup berakhir di jeriji besi' - Kim Seri

Iklan

SHAH ALAM - Pempengaruh media sosial, Kim Seri tampil membuat permohonan maaf dan berjanji akan memulangkan semula wang pelanggan terjejas sebelum atau pada 1 Februari 2025 susulan pelbagai masalah yang timbul melalui pakej pelancongan ke Korea yang dikendalikannya.

Kim Seri menerusi laman Instagram berkata, dia sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dokumen akan diberikan kepada semua pelanggan yang telah membuat tempahan sebelum ini.

"Pertama sekali saya ingin meminta maaf dengan setulus hati atas segala kebimbangan dan kesulitan yang telah saya timbulkan.

Iklan

"Saya memohon agar anda dapat memahami bahawa pada masa ini, saya tidak dapat untuk melunaskan jumlah pemulangan secara sekaligus.

"Namun begitu, saya ingin memberi jaminan bahawa saya akan menyelesaikan masalah ini melalui pelan pembayaran seperti berikut iaitu semua jumlah tertunggak akan dibayar sebelum atau pada 1 Februari 2025," katanya.

Iklan

Menerusi hantaran yang berbeza di platform yang sama, Kim Seri memberitahu dia pasrah jika hidupnya berakhir di jeriji besi.

"Jika jalanku nanti bawanya dengan rotan dan digantung tali, aku pasrah.

"Ia bukan lagi tentang rasa tenang dan takut, sekarang tentang redha dan pasrah. Setelah segala percubaan dalam menemukan jalan, ia masih didatangkan dengan pelbagai ujian," ujarnya.

Sementara itu, polis menerima lima laporan berhubung dakwaan menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang dikendalikan pempengaruh dan usahawan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan berhubung perkara itu namun dijadikan laporan luar kawasan.

"Semakan dibuat mendapati ada lima laporan polis dibuat (berhubung dakwaan penipuan itu)," katanya hari ini.

Di laman Thread, ada individu yang memuat naik senarai nama mangsa seramai 42 orang yang didakwa ditipu agensi pelancongan itu dengan jumlah kerugian lebih RM600,000.

Sebelum ini, terdapat juga beberapa rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatannya merungut dan meluahkan rasa kecewa berhubung perkara tersebut.

Menurut pengguna akaun Tik Tok eetafoodhq yang menggunakan perkhidmatan Kim Seri, sepanjang mereka di korea semuanya tidak seperti yang dimaklumkan.

Dia mendakwa, hotel ditukar, makanan cincai dan pada hari keempat mereka tidak disediakan bas kerana tiada bayaran dibuat oleh syarikat berkenaan.

"Masa balik Malaysia, hampir separuh daripada kami perlu membuat tambahan bayaran bagasi di kaunter sebanyak 290,000 won (RM902.19) untuk 20 kilogram.

"Bayangkan berapa kami kena bayar, dia minta kami bayar dan buat tuntutan. Dia boleh suruh tinggal bagasi lebih untuk pos ke Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, seorang wanita yang dikenali Sam memberitahu, dia ditipu oleh Kim Seri sehingga tidak dapat pulang ke Malaysia.

"Kami dijanjikan tiket pada waktu pagi tapi hari kedua baru diberi. Rupa-rupanya nama kami tidak wujud di mana-mana syarikat penerbangan.

"Kim Seri beri alasan ada masalah sistem yang menyebabkan nama kami tidak berada dalam senarai tiket penerbangan," ujarnya.