Bekas pegawai Majlis Daerah Besut dijel dua bulan terima rasuah RM4,500

Iklan
Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Rabu mengekalkan hukuman penjara selama dua bulan dan denda RM10,000 ke atas tertuduh yang disabitkan kesalahan menerima rasuah enam tahun lalu.

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Rabu mengekalkan hukuman penjara selama dua bulan dan denda RM10,000 ke atas bekas pegawai Majlis Daerah Besut (MDB) yang disabitkan kesalahan menerima rasuah RM4,500 enam tahun lalu.

Hakim Datuk Hassan Ghani mengekalkan hukuman itu terhadap Zariman Ibrahim, 44, selepas menolak rayuan dikemukakan berhubung hukuman dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dijalankan bermula Rabu.

Tertuduh yang sebelum ini merupakan Pegawai Perancang Bandar dan Desa didakwa atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen di sini.

Iklan

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menerima suapan tersebut daripada seorang lelaki yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Tertuduh didakwa menerima rasuah berjumlah RM4,500 menerusi akaun bank peribadinya pada 4 September 2018.

Iklan

Tertuduh sebelum ini telah disabitkan dengan pertuduhan dan diperintahkan menjalani hukuman penjara selama dua bulan dari tarikh sabitan dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu membenarkan penangguhan hukuman ke atas tertuduh setelah rayuan dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Pendakwaan kes itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Zamri Md Jail (Tetuan Syukri Zamri & Azran).