[VIDEO] Pemandu Mercedes Benz langgar lari penunggang motosikal didakwa

Iklan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu Mercedes Benz GLE 450 yang tular di media sosial berhubung kes langgar lari penunggang motosikal sebelum terbakar di Plaza Tol Wangsa Maju, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas dua kes memandu melulu dan tidak memberhentikan kenderaan selepas kemalangan, Ahad lalu.

Peniaga, Sum Kah Fei, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Haneefa Ariffin.

Iklan
Iklan
Kah Fei (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu. Video tular (kanan) memaparkan kemalangan penunggang motosikal dan sebuah kereta.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa sebagai pemandu kereta itu, telah memandu secara melulu sehingga berlaku perlanggaran dengan sebuah motosikal.

Ia menyebabkan penunggang, Muhammad Nur'faiz Saini @ Ausaini, 34, mengalami cedera parah di Lebuhraya Setiawangsa Pantai Expressway (SPE) dari arah Pusat Bandaraya ke arah Plaza Tol Wangsa Maju di sini, pada jam 12.35 tengah hari, 15 Disember lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 termasuk hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan kesalahan akan dimasukkan pada lesen memandu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa gagal memberhentikan kenderaan tersebut apabila berlaku kemalangan dengan mangsa, di lokasi dan masa sama.

Iklan

Kes dibuat mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibaca bersama Seksyen 119(1)(a) akta pengangkutan jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjarakan tidak melebihi enam bulan.

Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hannif Ahijman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua kes.

Bagaimanapun, peguam, Quek Kia Ping merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana perlu menyara anak dan isteri.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Haneefa membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua kes dan menetapkan 24 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan, pihak polis menahan pemandu kereta Mercedes-Benz GLE 450 bagi membantu siasatan kes melanggar penunggang motosikal di SPE di sini.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka yang tular di media sosial, seorang penunggang motosikal yang berada di lorong kiri, telah dilanggar kereta dipandu seorang lelaki tempatan.

Bagaimanapun pemandu itu tidak memberhentikan kenderaan dan meneruskan pemanduan sebelum kenderaannya terbakar di kilometer 18 berhampiran Plaza Tol Wangsa Maju.