TUMPAT - Suasana pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok di Pengkalan Kubor di sini lengang tanpa kelibat orang ramai mahu pun bot yang lalu lalang selepas kerajaan menguatkuasakan larangan rentas sempadan menggunakan laluan tidak sah.
Tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati suasana di sepanjang sungai yang memisahkan antara Malaysia-Thailand itu sepi.
Bagaimanapun, kelihatan anggota Pasukan Gerakan AM (PGA) tetap melakukan pemantauan dan mengawal menerusi Op Taring Wawasan.
Selain itu, kawasan parkir sebelum ini yang sentiasa dipenuhi kereta-kereta penduduk tempatan untuk menyeberangi Sungai Golok ke Pekan Tak Bai, Thailand kelihatan lengang.
Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Mat, 50, berkata, semenjak larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok pada 1 Disember lalu dilaksanakan, kawasan yang sebelum ini meriah dengan orang ramai mulai sepi.
"Sebelumnya, di sini tempat orang ramai letak kereta untuk ke Tak Bai dan sebagainya. Kebiasaanya peniaga-peniaga serta saudara mara yang mempunyai ahli keluarga di kedua-dua negara akan berbuat demikian.
"Namun semenjak polis mengeluarkan arahan untuk menahan sesiapa sahaja menyeberangi Sungai Golok, semuanya takut mengambil risiko," katanya.
Sinar Harian Online pada Rabu melaporkan tindakan berani seorang pemandu bot membawa dua lelaki menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram Pohon Jambu di Rantau Panjang membawa padah apabila ditangkap Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu pada Selasa.
Tindakan tiga lelaki tersebut telah melanggar arahan keluar masuk Malaysia-Thailand menggunakan pangkalan haram menyebabkan mereka disiasat bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
Pada 8 Disember lalu, empat individu ditahan selepas lapan hari penguatkuasaan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok dilaksanakan bermula 1 Disember lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia melibatkan tangkapan dua warganegara Malaysia dan Thailand (2) masing-masing berusia 33 hingga 50 tahun.