PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail mahu mengorak langkah lebih jauh selepas kejayaan membawa kelab Harimau Selatan itu berada pada tahap yang membanggakan.
Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor itu memberikan bayangan sesuatu yang besar akan berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Semua yang saya katakan 11 tahun lalu telah saya capai. Dua tahun lalu saya berkata saya akan meningkatkan industri bola sepak ini dan saya telah melakukannya di dalam dan luar padang.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail memainkan peranan besar dalam penstrukturan Harimau Malaya atau lebih dikenali sebagai revolusi pasukan kebangsaan.
Pada Isnin, FAM telah mengumumkan pelantikan pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih bawah 23 tahun (B-23) yang menandakan bermulanya revolusi tersebut.
Selain dua jawatan tersebut, penstrukturan pengurusan Harimau Malaya akan menyaksikan pelantikan bagi jawatan ketua pegawai eksekutif dan pengarah teknikal serta jawatan lain dalam masa terdekat.
Malah, akan ada perbincangan dengan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai pemain warisan yang beraksi di luar negara berpotensi menyarung jersi Harimau Malaya.
Baginda ketika ini berada di Doha, Qatar untuk beberapa siri mesyuarat termasuk bersama individu terkenal dan berjaya dalam dunia bola sepak.
Dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Tunku Mahkota Ismail, baginda telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways, Badr Mohammed Al-Meer dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.