KOTA BHARU - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki cuba menyeludup masuk 290 pokok bunga orkid dianggarkan bernilai RM580,000 dari Thailand, selepas memeriksa sebuah lori semasa menjalankan sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, dua hari lepas.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang dalam Ops Taring Wawasan Kelantan.
Iklan
Iklan
"..kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167), dan suspek serta barang rampasan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu beliau berkata, polis merampas dua bungkus plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM72,000 semasa menjalankan sekatan jalan raya di Cabang Empat Salam, Pasir Mas, pada hari yang sama.
Nik Ros Azhan berkata, semua dadah itu ditemukan dalam sebuah beg yang jatuh dari motosikal seorang suspek yang dikejar anggota dari Batalion 9, dalam kejadiaan kira-kira pukul 11.45 malam, bagaimanapun suspek lolos.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua bungkus plastik lutsinar berisi serbuk/ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine ditemukan dalam beg itu, dipercayai cuba diseludup dari Thailand, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya," katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan