AMK cadang Yang di-Pertua Negeri dipilih guna kaedah pilihan raya

Iklan
Haziq Azfar

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang mempertimbangkan pemilihan Yang di-Pertua Negeri selepas ini dibuat melalui pilihan raya supaya rakyat dapat memilih sendiri individu yang dirasakan layak menduduki kerusi tersebut.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, perubahan itu perlu dilakukan bagi mengelakkan timbul sebarang polemik pada masa akan datang termasuk tuduhan tidak berasas kepada kerajaan semasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, syor tersebut merupakan alternatif jauh lebih baik berbanding kaedah sedia ada yang digunakan selama ini.

"Kerajaan boleh menimbangkan contoh model pemilihan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri daripada beberapa kaedah pilihan raya sedia ada termasuklah Pilihan Raya Presiden Singapura.

Iklan

"Langkah ini akan memacu reformasi politik yang lebih progresif, meningkatkan penyertaan rakyat dalam demokrasi di samping memberi kejernihan terhadap kebertanggungjawaban dalam pemilihan Yang Dipertua Negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Selasa berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Musa Aman pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025.

Iklan

Musa, 73, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.

Pelantikan Musa yang juga bekas Ketua Menteri Melaka adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.