Polis terima lima laporan berkaitan dakwaan ditipu agensi pelancongan

Iklan
Gambar kecil: Sulizmie Affendy

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan menerima lima laporan sekumpulan individu mendakwa ditipu agensi pelancongan yang dipercayai dikendalikan seorang pempengaruh media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kesemua individu terbabit ada membuat laporan polis berkaitan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Iklan
Iklan

"Saya mengesahkan polis ada menerima lima laporan polis berkaitan dakwaan telah ditipu agensi pelancongan.

"Bagaimanapun laporan tersebut dijadikan laporan luar kawasan disebabkan kejadian terbabit bukan di bawah kawasan seliaan IPD Dang Wangi," katanya pada Rabu.

Iklan

Katanya, laporan serta siasatan berkaitan kes terbabit turut akan diserahkan kepada IPD yang berkenaan.

Media pada Selasa melaporkan sekumpulan individu tampil membuat laporan polis setelah mendakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan yang menawarkan percutian ke Seoul, Korea Selatan.

Iklan

Pada Isnin, tular di TikTok video luahan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pempengaruh itu.

Menerusi video itu, wanita berkenaan mendakwa dia bersama rombongan tersadai di lapangan terbang kerana tiada tiket penerbangan pulang ke tanah air seperti dijanjikan.

Wanita itu mendakwa sudah membuat semakan di kaunter tiket namun namanya bersama rombongan tiada dalam rekod.

Bagi mendapat kepastian, wanita itu cuba menghubungi pempengaruh namun diminta menunggu sebelum diberitahu terdapat masalah teknikal untuk membuat tempahan.

Di akhir video, wanita itu menuntut pempengaruh berkenaan bertanggungjawab kerana terkilan dengan apa yang berlaku selepas membuat pembayaran penuh awal seperti diminta pempengaruh berkenaan.

Perkongsian wanita itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata bersimpati dan meminta mangsa membuat laporan polis.