JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu mengarahkan bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, membela diri atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM10,000, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd Zulfadli Nayan, 43, di akhir kes pendakwaan.
Iklan
Iklan
Peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly yang mewakili tertuduh kemudian memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah ketika prosiding bela diri.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong.
Pada 23 Mei 2021, tertuduh yang kini digantung tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Hubungan dan Koordinasi Antarabangsa Ibu Pejabat Maritim Malaysia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terbabit.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Zulfadli didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada pemilik syarikat perkapalan, Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal di sini, pukul 10 malam, pada 2 Oktober 2020.
Mohd Zulfadli didakwa menggunakan jawatannya ketika itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan KM Mulia, Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 September 2020.