GOPENG - Pemandu treler maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah treler lain di Kilometer M305.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu mangsa, Mohamad Rashidi Zainudin, 32, yang berasal dari Kamunting meninggal dunia di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan tidak sempat membrek sebelum melanggar belakang treler lain.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh manakala treler yang dipandu lelaki berusia 51 tahun itu pula dalam perjalanan ke Pulau Pinang.
"Apabila sampai di tempat kejadian, treler dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang treler tersebut,” katanya.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di tempat duduknya dan disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk bedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.