SEREMBAN - Disyaki boleh memperoleh melebihi RM100 dalam tempoh dua jam dengan hanya menilik nasib seseorang menggunakan kad tarot.
Aktiviti seorang wanita warga Indonesia bersama kekasih 'pengkidnya' bagaimanapun dihidu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Negeri Sembilan (JHEAINS) baru-baru ini sehingga membawa kepada penahanan mereka Jumaat lalu.
Mereka yang berusia 30-an telah ditahan di sebuah rumah dua tingkat di Sendayan.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah berkata, hasil risikan mendapati, kegiatan terbabit dilakukan pasangan songsang berkenaan sejak pertengahan tahun ini menerusi siaran langsung di TikTok.
Menurutnya, bayaran dikenakan kepada pelanggan menerusi pemberian 'gift' di TikTok berdasarkan tiga bentuk ramalan yang dilakukan iaitu soal percintaan, nasib ekonomi dan tuah kehidupan.
"Sebelum ditilik, pelanggan perlu membuat bayaran melalui pemberian 'gift' yang boleh ditukar dalam bentuk wang.
"Berdasarkan keterangan daripada suspek, mereka mendakwa hanya memperoleh RM20 sehari, tetapi kita percaya boleh dapat lebih dari itu berdasarkan kemampuan mereka menyewa rumah yang kadar sewanya lebih RM1,000," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut juga mendapati kedua-dua suspek tidak bekerja dan wanita Indonesia itu pula didapati telah tinggal lebih masa di negara ini.
Sehubungan itu katanya, wanita Indonesia itu telah ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu melakukan perbuatan salah manakala seorang lagi di bawah Seksyen 34 kerana bersubahat.
"Suspek telah pun dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah di sini Sabtu lalu dan telah diperintahkan membayar wang jaminan masing-masing RM3,500 dan RM2,500.
"Ini merupakan kali pertama penguatkuasaan dilakukan terhadap ajaran salah menilik masa depan dan ia adalah termasuk dalam amalan khurafat," katanya.
Tambah Ahmad Zaki, apa yang membimbangkan apabila aktiviti tersebut mendapat sambutan dalam kalangan orang muda dan jika dibiarkan boleh merosakkan akidah umat Islam.
Ujarnya, ia juga boleh memberi kesan psikologi kepada seseorang yang ditilik sekiranya mereka mempercayai ramalan berkenaan.
"Contohnya, kalau tukang tilik itu beritahu masa depan individu yang ditilik itu akan susah, semestinya membuatkannya hilang semangat dan emosinya terganggu.
"Benda ini nampak kecil, tapi ia sangat bahaya jika tidak dibendung. Jadi masyarakat Islam diingatkan tidak mudah dipengaruhi dengan amalan ini," katanya.