SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan wujud syarat tambahan dikenakan ke atas warga emas yang ingin memperbaharui lesen memandu seperti mana tular di media sosial ketika ini.
Menerusi satu kenyataan jabatan itu menjelaskan, dakwaan golongan warga emas perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan, sebelum memperbaharui tidak benar sama sekali.
"Untuk makluman, pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mahupun JPJ tidak meletakkan apa-apa syarat tambahan kepada golongan warga emas bagi memperbaharui lesen memandu.
"Proses pembaharuan lesen memandu bagi golongan warga emas adalah masih tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) Pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai dakwaan JPJ menetapkan syarat tambahan kepada golongan warga emas yang ingin memperbaharui lesen memandu iaitu perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan terlebih dahulu.
Sementara itu, jabatan berkenaan menerusi kenyataan sama mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap maklumat yang diterima.
"Jabatan ini sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan kesejahteraan orang awam terutamanya para pelanggan JPJ sentiasa terpelihara," katanya.