Keputusan saman bekas ADUN Nenggiri 19 Februari

Iklan
Mohd Azizi Abu Naim

KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga pihak lain untuk membatalkan saman pemula bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim berhubung pemecatannya daripada parti itu, di Mahkamah Tinggi di sini ditetapkan pada 19 Februari tahun depan.

Hakim, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak yang terlibat.

Iklan
Iklan

Melalui saman pemula difailkan 24 Jun lalu, Mohd Azizi selaku plaintif memohon perisytiharan untuk menghentikan SPR daripada mengadakan PRK di kawasan DUN berkenaan selain memohon perisytiharan tiada kekosongan kerusi di kawasan itu.

Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa PRK bagi kerusi DUN Nenggiri tidak boleh dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mendakwa beliau masih penyandangnya.

Iklan

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah tidak sah.

Ia termasuk perisytiharan bahawa surat makluman daripada Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah kepada SPR bahawa kerusi ADUN Nenggiri kosong, digantung perlaksanaannya.

Iklan

Dalam prosiding ini, dua defendan diwakili Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin diwakili peguam, Chetan Jethwani.

Dua lagi defendan lain, Mohd Amar diwakili peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud sementara Peguam Persekutuan, M Kogilambigai untuk SPR.

Plaintif pula diwakili peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam.

Semasa hujahan, Awang Armadajaya membantah saman pemula itu kerana pihak plaintif tidak menamakan ADUN Nenggiri baharu, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai salah seorang defendan.

"Sebaliknya, plaintif memohon memasukkan Datuk Kapt (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai defendan kelima atas alasan beliau adalah pegawai awam Bersatu.

"Jadi, saman pemula itu wajar dibatalkan kerana ia remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.