Jangan normalisasi watak kesyirikan

Iklan
MENDANDAN diri dengan mengenakan pakaian seperti ahli sihir, ilmu hitam dan kuasa gelap semakin banyak dalam kalangan kanak-kanak mahupun dewasa. Foto CANVA/Gambar kecil: DR MOHD KHAIRULNAZRIN

SAMBUTAN Hari Kanak-Kanak Sedunia yang berlangsung setiap tahun kini dicemari dengan trend yang membimbangkan iaitu memperagakan watak animasi yang berkaitan dengan sihir, ilmu hitam dan kuasa gelap.

Fenomena ini kian merebak bukan sahaja dalam kalangan murid sekolah, malah turut disemarakkan oleh golongan dewasa dalam pelbagai majlis.

Iklan
Iklan

Rasulullah SAW dengan jelas memberi amaran keras dalam sebuah hadis bermaksud: "Sesiapa yang meniru gaya sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka." (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Nas ini menunjukkan bahawa tindakan meniru budaya dan amalan pihak lain yang bertentangan dengan syariat Islam adalah satu kesalahan yang amat besar.

Iklan

Dalam konteks hadis yang diriwayatkan, Rasulullah SAW dengan jelas mengarahkan umatnya untuk membezakan diri daripada amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Imaginasi kanak-kanak yang masih polos mudah terpengaruh dengan unsur-unsur khayalan yang ditonjolkan dalam media hiburan moden.

Iklan

Watak-watak seperti ahli sihir dalam animasi dan filem kanak-kanak sering digambarkan sebagai individu yang mempunyai kuasa terpendam, boleh mengubah keadaan dan mampu mengatasi had kemanusiaan.

PENDEDAHAN berterusan terhadap watak-watak berkuasa gelap ini berpotensi mencacatkan konsep tauhid dalam diri kanak-kanak. Foto CANVA

Ini bertentangan dengan akidah Islam yang menegaskan bahawa segala kuasa mutlak hanya milik ALLAH SWT.

Pendedahan berterusan terhadap watak-watak berkuasa gelap ini berpotensi mencacatkan konsep tauhid dalam diri kanak-kanak.

Mereka mula menganggap normal untuk mempercayai kuasa selain daripada Allah, satu titik permulaan yang amat berbahaya dalam perjalanan rohani seorang Muslim.

Ibu bapa, guru dan masyarakat bertanggungjawab menghalang trend ini daripada terus berkembang.

Kita perlu membimbing generasi muda supaya memahami bahawa hiburan tidak semestinya bermakna menerima sepenuhnya falsafah dan amalan yang dibawanya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membendung trend yang membimbangkan ini.

TEMA pakaian alternatif untuk majlis sambutan hari kanak-kanak atau acara dewasa boleh merangkumi konsep budaya warisan tempatan seperti pakaian tradisional Melayu, pakaian etnik atau tema bertunjangkan kearifan tempatan. Foto CANVA

Kita perlu mendidik generasi muda dengan pemahaman yang kukuh tentang akidah, membina benteng iman yang kuat dan menghalang unsur-unsur yang berpotensi mencemarkan kesucian akidah mereka.

Pilihan lain termasuk pakaian profesion seperti cita-cita kanak-kanak, pakaian sejarah atau tema inspirasi yang menggalakkan kreativiti dan semangat kebudayaan Malaysia.

Marilah kita bertindak bijak, mengambil pendekatan preventif (mencegah) dan memastikan generasi muda kita berkembang dalam lindungan akidah yang murni dan tidak tercemar dengan amalan yang boleh menggugat keimanan mereka.

***DR MOHD KHAIRULNAZRIN MOHD NASIR merupakan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UMEC) Bachok, Kelantan.