SUNGAI PETANI - Kemunculan pengemis yang menagih simpati di beberapa buah lampu isyarat di bandar ini mengundang kebimbangan pengguna jalan raya.
Akibat rimas, seorang pengguna media sosial telah memuat naik hantaran mengenai tindakan beberapa lelaki dipercayai gelandangan itu meminta sedekah daripada orang ramai ketika berhenti di lampu isyarat terbabit.
Berdasarkan hantaran pengguna bernama Liza Kassim, peminta sedekah dipercayai melakukan kegiatan itu bermula dari lampu isyarat Penjara Sungai Petani sehingga ke persimpangan Bangunan SP Plaza.
Dakwanya dalam hantaran sama, terdapat seorang pengemis dipercayai menggunakan kerusi roda untuk menagih simpati selain ada yang mengetuk tingkap kereta dengan kuat.
"Harap pihak berkaitan tengok keadaan ini, tahun 2025 Tahun Melawat Kedah takut terjejas imej Sungai Petani," dakwanya melalui hantaran di Facebook.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian pada Rabu menemui peminta sedekah yang dilihat memakai kemeja-T warna merah mendekati sebuah kenderaan dipercayai bagi menagih simpati meminta wang.
Kejadian terbabit berlaku ketika lampu isyarat bertukar merah dari arah Penjara Sungai Petani menuju ke Lagenda Heights.
Dalam tinjauan berbeza, seorang lagi lelaki berkemungkinan gelandangan dilihat berpakaian lengkap namun dalam keadaan tidak terurus mundar-mandir di tepi jalan berdekatan Penjara Sungai Petani dari arah Hospital Lama menuju ke arah pusat bandar.
Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Halim, 35, berkata, lelaki terbabit dilihat sering berjalan kaki dari lokasi itu sehingga ke Pekan Lama Sungai Petani.
"Nampak dia ini suka berjalan merata, bercakap sendiri dan setiap kenderaan yang berada berdekatan ditegurnya, mungkin 'tidak sihat' tetapi tak nampak pula minta sedekah," katanya.
Seorang lagi pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Zaki, 33, berkata, pernah membantu seorang lelaki berkerusi roda melintas jalan ketika berada di hadapan lampu isyarat dekat penjara.
"Saya sendiri pernah turun dari kenderaan dan bantu mangsa untuk melintas jalan kerana kasihankan dia sebab seorang diri guna kerusi roda di jalan sesak ini," katanya.
Rakannya, Anas, 33, berkata, selain tolong bawa ke tempat selamat, mereka pernah beri wang saku kepada lelaki berkerusi roda terbabit selain menasihati agar berhati-hati kerana bimbang dirempuh kenderaan yang sedang bergerak di simpang lampu isyarat berkenaan.
"Bagaimanapun, lepas kejadian itu, masih nampak lelaki terbabit berada di simpang sama, kami fikir mungkin dia 'sakit'," dakwanya.
Dia turut mendakwa, ada juga rakan lain berdepan situasi pernah diketuk cermin kereta oleh pengemis ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau bagi tujuan meminta sedekah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharudin Wan Ismail, mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak 'melayani' permintaan individu meminta sedekah ketika berhenti di lampu isyarat.
Bagaimanapun, jelasnya, sekiranya individu terbabit dikesan bertindak agresif seperti memaksa orang ramai menghulurkan wang sehingga merosakkan kenderaan, laporan polis boleh dibuat.
Apabila ditanya jika terdapat individu bertindak keterlaluan dengan berkelakuan tidak sopan di khalayak, jelasnya, tindakan tegas boleh dikenakan.
"Boleh buat laporan polis jika ada aksi keterlaluan, kelakuan tidak sopan atau merosakkan kenderaan, supaya polis boleh buat siasatan lanjut.
"Tindakan penguatkuasaan kepada pengemis boleh juga dibuat oleh pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) jika disyaki terlibat penggunaan bahan terlarang, tidak bergantung kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata," jelas beliau.