Gagal serah waran tangkap, 'Hot Daddy' dan dua wanita dilepas tanpa dibebas

Iklan
Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Hot Daddy dan dua rakan wanitanya daripada pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan, menjual rakaman video lucah serta memiliki bahan lucah.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas tanpa membebaskan seorang lelaki dikenali sebagai Hot Daddy dan dua rakan wanitanya daripada pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan, menjual rakaman video lucah serta memiliki bahan lucah.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan waran tangkap yang dikeluarkan pada prosiding sebelum ini terhadap kesemua tertuduh tidak dapat diserahkan kepada mereka.

Iklan
Iklan

Selain Hot Daddy, atau nama sebenarnya Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, mahkamah turut melepas tanpa membebaskan Norshazrina Md Zamri dan Norhidayah Mahadi.

Siti Shakirah berkata, usaha mengesan tertuduh telah diserahkan kepada pihak pendakwaan sebanyak tiga kali namun waran tangkap masih belum dapat disempurnakan.

Iklan

"Mahkamah juga merekodkan kesemua penjamin gagal hadir dan gagal memberi sebarang penjelasan mengenai ketidakhadiran semua tertuduh hingga tarikh hari ini.

"Oleh itu, mahkamah melepas tanpa membebaskan ketiga-tiga tertuduh ini sehingga waran tangkap dapat disempurnakan,” katanya.

Iklan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip berkata, waran tangkap yang dikeluarkan sebelum ini ke atas ketiga-tiga tertuduh yang gagal hadir semasa sebutan kes tidak dapat disempurnakan dan mereka masih dalam pengesanan polis.

"Notis kepada penjamin telah diserahkan namun penjamin tidak pernah hadir untuk memberi penjelasan mengenai ketidakhadiran tertuduh," katanya.

Hasli Ikhwan Arif, 32, Norshazrina, 27, dan Norhidayah, 24, didakwa membuat pengiklanan khidmat persundalan mengunakan aplikasi X menyebabkan orang yang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat D7 (Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap) Bukit Aman di sini pada jam 10.10 pagi 16 Januari 2024 mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa menjual rakaman video lucah di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah D7, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini pada jam 11.54 malam 15 Januari lepas mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hasli Ikhwan dan Norhidayah turut berdepan pertuduhan memiliki bahan lucah di Pejabat D7 (Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap) Bukit Aman pada jam 4 petang 22 Januari 2024 mengikut Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama