SHAH ALAM - Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) mengemukakan lima syor bagi membantu pemegang polisi insurans dan takaful menguruskan kos penjagaan kesihatan swasta tanpa perlu mengorbankan perlindungan tersebut.
Presidennya, Alvin Tan berkata, antaranya ialah menyemak semula polisi sedia ada untuk mengenal pasti sebarang perlindungan berlebihan atau tidak penting yang boleh diselaraskan agar dapat mengurangkan jumlah premium sambil mengekalkan faedah penting.
Menurutnya, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) juga perlu berbincang penstrukturan semula polisi bagi menetapkan pilihan seperti meningkatkan jumlah yang boleh ditolak atau memilih struktur pembayaran bersama boleh menjadikan premium lebih berpatutan.
"Mereka juga boleh bandingkan pelan yang sama daripada ITO lain untuk mencari pilihan kos yang lebih efektif tanpa menjejaskan perlindungan kritikal.
"Selain itu, semak sama ada majikan menawarkan insurans perubatan sebagai sebahagian daripada faedah pekerjaan. Tambah perlindungan ini dengan pelan peribadi yang disesuaikan dengan keperluan khusus.
"Alternatif lain ialah menilai keseluruhan keadaan kewangan dan buat pelarasan pada belanjawan untuk menampung kenaikan premium sambil mengekalkan perlindungan kesihatan anda,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, premium insurans perubatan dilapor akan menyaksikan peningkatan antara 40 hingga 70 peratus tahun depan.
Susulan itu, pada 28 November lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengarahkan syarikat insurans dan ITO menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia lebih wajar.
Mengulas lanjut, Alvin berkata, orang ramai perlu menilai dengan teliti sebarang pilihan sebelum membuat sebarang keputusan yang boleh menjejaskan perlindungan kesihatan mereka.
"Peningkatan mendadak ini menimbulkan cabaran kepada ramai pemegang polisi yang mungkin mempertimbangkan untuk menghentikan atau membatalkan polisi mereka kerana tekanan kewangan.
"Menamatkan polisi insurans atau takaful mungkin kelihatan seperti penyelesaian jangka pendek tetapi ia boleh membawa kesan kewangan jangka panjang terutama ketika kecemasan di luar jangkaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Alvin, semua pihak termasuk penyedia penjagaan kesihatan dan ITO supaya bekerjasama ke arah penyelesaian holistik bagi menangani peningkatan inflasi perubatan.
"Usaha mesti memberi tumpuan terhadap mewujudkan strategi mampan untuk mengurus kos penjagaan kesihatan dan kesannya terhadap premium insurans dan takaful bagi memastikan kemampuan dan kebolehcapaian untuk semua rakyat Malaysia.
"FPAM juga mahu menasihatkan orang ramai supaya berunding dengan perancang kewangan berlesen kerana mereka boleh memberi nasihat dan membantu membuat keputusan seiring dengan matlamat kewangan dan keperluan penjagaan kesihatan.
"Insurans kesihatan dan perlindungan takaful adalah komponen penting dalam pelan kewangan yang kukuh,” katanya lagi.