LUMUT - Tragedi dua helikopter terhempas mengorbankan 10 nyawa di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini lapan bulan lalu terus diingati warga setempat tidak terkecuali Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh.
Sebagai memperingatinya, Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh dengan kerjasama Markas Udara TLDM telah mengadakan Majlis Bacaan Tahlil sempena Program MyQurantime anjuran Rumah Ngaji berkenaan.
Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, program julung kali diadakan itu dicetuskan bagi mendoakan pejuang negara yang terkorban itu.
Menurutnya, program yang dirancang dalam masa dua minggu itu berjaya dilaksanakan dengan lancar melibatkan seramai 50 orang ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh bersama Rumah Ngaji Perak.
"Untuk kali ini, kita gabungkan MyQurantime dengan bacaan tahlil bagi mendoakan pejuang-pejuang yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas yang lalu.
Hadir sama pada program itu, Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim; Ketua Staf Markas Udara TLDM Lumut, Kepten Ruzman Mat; Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Pusat Pembangunan Kerohanian, Mejar Suher Wajdi Abd Rahman dan Ketua Cawangan Koperasi Tentera Lumut, Leftenan (B) Muhammad Shafiq Ridzuan Mohd Fadzil.
Maziah berkata, doa turut dipanjatkan buat mangsa-mangsa bencana banjir agar mereka terus tabah menghadapi ujian.
Sementara itu Ruzman berkata, pihaknya amat mengalu-alukan program berbentuk kerohanian seperti MyQurantime itu.
"Majlis ini bertepatan untuk pengisian rohani sebab daripada tragedi itu kita ada ramai yang terkesan sebab kehilangan rakan seperjuangan, jadi dengan majlis seperti ini dapat menguatkan rohani anggota-anggota.
"Kita sentiasa mengalu-alukan aktiviti seperti ini sebab yang sebelum ini pun dibuat sempena dengan Hari Terbuka Armada," katanya.
Terdahulu peserta Rumah Ngaji bersama-sama 70 pegawai dan anggota Shelter Skuadron 501 Markas Udara TLDM membaca Surah Al-Kahfi bermula ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 diikuti tadabbur oleh Suher Wajdi.
Selepas itu program diteruskan dengan majlis bacaan tahlil buat anggota beragama Islam yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
Pada 23 April lalu, seramai 10 pegawai serta anggota TLDM terkorban apabila dua helikopter dinaiki mereka terhempas di Pangkalan TLDM Lumut dalam kejadian sekitar pukul 9.32 pagi.
Mereka yang terkorban dari HOM-AW139 Kdr Muhammad Firdaus Ramli, Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun, PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, BM TNL Noor Rahiza Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia Rohna.