KOTA KINABALU - Rekod cemerlang pentadbiran Tun Musa Aman sebagai Ketua Menteri selama 15 tahun, yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan bakal membantu memacu ekonomi negeri ini selepas beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.
Presiden Dewan Usahawan Melayu Sabah (DEUMESA), Datuk Ag Buhtaman Ag Mahmun melihat pelbagai pembangunan telah dibawa Musa ketika beliau mentadbir kerajaan Sabah sejak 2003 hingga 2018 yang lalu.
Menurutnya, Musa mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi dan perniagaan selain menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan dan menteri di Jabatan Ketua Menteri sepanjang berkhidmat dalam kerajaan Sabah.
"Sebelum menceburkan diri dalam politik pada tahun 1994, beliau adalah seorang ahli perniagaan korporat pada ketika itu dan telahpun diminta untuk menceburi politik.
"Kita kira semasa beliau memegang tampuk pemerintahan sebagai Ketua Kerajaan Negeri Sabah, kita lihat juga dari segi keupayaan mentadbir Kewangan Negeri Sabah di mana Audit Negara telahpun memberikan penarafan bersih daripada selama beberapa tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Ag Buhtaman lagi, kepimpinan Musa sebagai pentadbir kerajaan Sabah ketika itu juga melihat kepada pertambahan kemasukan pelancong asing ke Sabah disebabkan pembangunan infrastruktur yang dibawa di negeri ini.
"Bukan saja beliau mampu untuk mentadbir dari segi kewangan tetapi berdasarkan kepada pengalamannya, kita mempunyai pelancong begitu ramai datang ke negeri Sabah kerana infrastruktur-infrastruktur yang dibina pada ketika itu sangat kundusif bagi pelancong khususnya daripada China dan Korea.
"Jadi saya percaya dengan beliau memberi 'payung' kepada negeri Sabah memegang jawatan sebagai TYT Sabah, saya ingat akan memberikan lebih banyak keyakinan kepada pelabur dan pelawat untuk melabur di negeri ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau melihat kombinasi antara Musa sebagai TYT yang baharu dan juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor akan memberi limpahan ekonomi kepada negeri ini.
"Beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dan boleh memberikan pandangan serta nasihat kepada kerajaan negeri.
"Saya kira dari segi ekonomi dan keyakinan rakyat, Tun Musa bukan baharu (bekerjasama) dengan Datuk Seri Hajiji kerana mereka pernah berada di dalam pasukan yang sama dan pada suatu ketika dulu apabila Tun Musa menjadi Menteri Kawangan, saya ingat dia dibantu oleh Datuk Seri Hajiji.
"Gabungan kedua-dua pemimpin ini tentunya akan dapat memberikan keyakinan yang lebih kepada pelabur-pelabur untuk datang ke negeri Sabah dan dengan visi serta misi yang ada sudah tentunya ekonomi Sabah ini akan dapat kita pacu dan kembangkan dengan lebih cepat," katanya.