Dron misteri dilihat di pantai timur AS tidak berunsur jahat - Biden

Iklan

MOSCOW - Presiden Amerika Syarikat Joe Biden buat kali pertama kali memberikan ulasan terbuka mengenai dron misteri yang dilihat terbang di langit New Jersey dan negeri-negeri lain di timur laut, dengan menyatakan tiada unsur 'jahat' berkaitan dengannya, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Tiada apa-apa yang jahat, nampaknya,” kata Biden kepada wartawan di Rumah Putih.

Iklan
Iklan

Terdapat beberapa laporan dibuat mengenai dron dilihat di negeri-negeri Pantai Timur seperti New Jersey, New York, Maryland dan Florida sejak pertengahan November, menurut laporan NBC News.

Ruang udara pangkalan Kor Marin AS, Camp Pendleton, di California juga beberapa kali dicerobohi oleh dron yang tidak diketahui asal usulnya, lapor laman berita War Zone pada Selasa, memetik wakil pangkalan itu.

Iklan

"Sebanyak enam kali (dari 9 hingga 15 Disember), pencerobohan dron di ruang udara Camp Pendleton diperhatikan, tetapi tidak menimbulkan ancaman terhadap operasi di kemudahan itu,” menurut wakil berkenaan.

Laman sesawang itu juga melaporkan yang dron kembali dikesan pada 16 dan 17 Disember di ruang udara Pangkalan Tentera Udara Wright-Patterson, yang menempatkan Kawalan Materiel Tentera Udara dan Makmal Penyelidikan Tentera Udara.

Iklan

Menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kumpulan dron yang terbang di ruang udara New York dan New Jersey selama beberapa minggu. Pihak berkuasa tempatan meminta agensi persekutuan menyiasat perkara itu. Pentagon pula menegaskan yang dron berkenaan bukan berasal daripada pihak lawan negara asing.

Kerajaan AS tidak melihat sebarang ancaman terhadap keselamatan negara atau ruang udara awam daripada kejadian dron yang berada di ruang udara New Jersey, menurut Penasihat Keselamatan Komunikasi Negara AS John Kirby pada Isnin. - Bernama/Sputnik/Ria Novosti