JOHOR BAHRU - Pengusaha stesen minyak di Semenanjung mendakwa mengalami kerugian mencecah RM181 juta sejak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada Jun lalu.
Setiausaha Kehormat Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Hanny Julia Haron berkata, hampir 3,500 stesen minyak kini mencapai tahap kritikal setelah menanggung kerugian hampir setiap bulan.
Jelasnya, ia berlaku setelah pengusaha terpaksa membeli bahan api pada harga tinggi tetapi menjual pada harga lebih rendah.
"Sebanyak 98.3 peratus daripada stesen-stesen ini melaporkan kerugian daripada jualan petrol dan diesel menyebabkan ramai pengusaha beralih kepada jualan kedai serbaneka sebagai strategi untuk mengimbangi penurunan pendapatan bahan api.
"Tanpa campur tangan, kesan ekonomi jangka panjang boleh menjadi parah, berpotensi meningkatkan kadar pengangguran dan mengurangkan hasil kerajaan daripada cukai dan levi akibat penutupan stesen atau pengurangan operasi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Persidangan Bumipeda Wilayah Selatan di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, di sini pada Rabu.
Turut hadir Naib Presiden Bumipeda, Shahrul Nizam Md. Radzi dan Mohd Najib Saleh.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.
Jelasnya, kerajaan melaksanakan penyasaran itu adalah untuk membendung ketirisan diesel subsidi yang kian berleluasa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara setelah berbelanja sebanyak RM14.3 bilion untuk subsidi diesel pada tahun lalu.
Mengulas lanjut, Hanny Julia berkata, susulan peningkatan kos operasi ini, ramai pengusaha stesen mempertimbangkan untuk mengurangkan waktu operasi mereka sehingga tengah malam sahaja bagi mengurangkan perbelanjaan buruh dan utiliti.
Malangnya kata beliau, pengurangan tenaga kerja juga mungkin diperlukan sebagai langkah terakhir untuk mengekalkan operasi.
"Kami menggesa kementerian untuk meneliti dan melaraskan kadar margin operator secara adil bagi memastikan bekalan bahan api berterusan mengikut permintaan pasaran.
"Penyasaran subsidi diesel ini menyebabkan kenaikan harga pam diesel tanpa penyesuaian sepadan dalam kadar komisen pengusaha. Justeru, kami juga menyeru kerajaan segera menyediakan penyelesaian sementara untuk menyesuaikan komisen peniaga," ujarnya.
Tambahnya, Mekanisme Penentuan Harga Automatik (APM) yang dibangunkan pada 1983 perlu dikaji semula secara menyeluruh dan sejajar dengan belanjawan tahunan negara.
Ini kerana struktur kosnya sangat dipengaruhi oleh kekuatan dollar Amerika Syarikat yang menjejaskan margin kedua-dua stesen minyak dan syarikat minyak.