SHAH ALAM - Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) menggesa panel penyiasat dibentuk dengan segera bagi menyiasat kes gangguan seksual yang didakwa melibatkan seorang pensyarah dan pelajar di universiti berkenaan.
PKAUM dalam satu kenyataan menegaskan, siasatan tersebut perlu dilakukan dengan menyeluruh dan telus kerana gangguan terbabit melibatkan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pihak berwibawa yang diberikan amanah.
"Selain itu, terdapat dakwaan viral seorang pensyarah kanan dari jabatan yang sama menafikan kejadian ini dan mengambil inisiatif untuk menyiasat kes tersebut. Jika benar, apakah bidang pihak berkuasa yang dia ada untuk berbuat demikian terutama apabila jelas terdapat potensi konflik kepentingan?
"Jika tindakan segera tidak diambil, situasi seperti kes gangguan seksual yang melibatkan ketua ortopedik hospital awam di Lembah Klang atau kes seperti Harvey Weinstein boleh meningkat.
"Tindakan segera oleh pihak pengurusan universiti adalah penting untuk menamatkan segala isu susulan dakwaan itu dan secara tidak langsung menjaga keselamatan pelajar dan komuniti kampus,” katanya pada Rabu.
Media tempatan sebelum ini melaporkan seorang pensyarah sebuah universiti terkemuka negara didakwa menghantar gambar lucah kepada beberapa pelajarnya.
Sehubungan itu, Kelab Feminisme UM menggesa pengurusan universiti terbabit segera menambah baik dasar antigangguan seksual.
Mengulas lanjut, PKAUM berkata, pihak pengurusan boleh menyangkal dan mengambil langkah sewajarnya untuk meredakan keresahan dan kebimbangan warga kampus universiti tersebut sekiranya dakwaan itu tidak benar.
"Sekiranya dakwaan ini mempunyai merit, penting untuk menyiasat sebab di sebalik kekurangan tindakan walaupun laporan dibuat dan mewujudkan sistem untuk menangani isu ini.
"Adakah laporan itu dibuat kepada jabatan? Adakah sebarang laporan dibuat kepada Unit Integriti ditugaskan untuk menyiasat aduan tersebut, dan jika tidak, mengapa?
"Jika aduan telah dibuat di jabatan, adakah langkah-langkah yang diketengahkan dalam Kod Bebas Daripada Eksploitasi Seksual, Penderaan dan Gangguan di UM telah diambil tindakan?" soalnya.
Dalam pada itu, PKAUM berkata, pengurusan universiti perlu menyiasat bersesuaian dengan kod berkenaan yang menyatakan gangguan seksual dan sebarang tindakan yang bersifat eksploitasi seksual, penderaan mana-mana jantina atau kumpulan orang adalah salah laku yang tidak boleh diterima.
"Ia sama ada antara kakitangan dan pelajar, dalam kalangan kakitangan, pelajar, penyelia dan kakitangan bawahan atau perhubungan lain,” ulasnya.