RINGGIT ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila para peniaga mengambil pendekatan berhati-hati dalam dagangan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat.
Keputusan dasar FOMC kebiasaan diumumkan pada hari kedua mesyuarat (hari ini), disusuli sidang akhbar oleh Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Jerome Powell untuk memberikan gambaran lebih lanjut tentang strategi Fed pada masa hadapan.
Pada jam 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.4670/4725 berbanding dolar AS daripada 4.4645/4690 pada Selasa.
Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pasaran menjangkakan Fed menurunkan kadar sebanyak 25 mata asas bulan ini, yang boleh memberikan sedikit sokongan kepada ringgit.
"Bagaimanapun, ketidakpastian menyelubungi dasar monetari AS pada masa depan disebabkan oleh potensi kesan inflasi daripada kenaikan tarif yang bakal dilaksanakan oleh pentadbiran Donald Trump.
"Langkah sedemikian boleh menyebabkan Fed menyederhanakan penurunan kadarnya pada 2025, yang seterusnya bakal memberi cabaran kepada ringgit,” katanya kepada Bernama.
Innes berkata, mata wang tempatan diniagakan dalam jajaran kecil hari ini, menunjukkan aktiviti pasaran yang lemah.
Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding pound British kepada 5.6673/6743 daripada 5.6646/6703 pada Selasa, jatuh berbanding euro kepada 4.6877/6934 daripada 4.6815/6862 dan turun berbanding yen Jepun kepada 2.9074/9112 daripada 2.9028/9.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3045/3088 daripada 3.3048/3087 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.57/7.58 daripada 7.58/7.59.
Sementara itu, ringgit menyusut berbanding baht Thai kepada 13.0378/0618 daripada 13.0236/0440 dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 277.4/277.9 daripada 277.2/277.6. - Bernama