SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengarahkan sebuah ladang di Sabak Bernam memindah dan mengosongkan segera lebih 1,000 lembu milik penternak yang berkeliaran sehingga mengakibatkan kemalangan maut.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat khas bersama pihak terlibat pada Selasa.
"Kita juga menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang bertanggungjawab memantau aktiviti penternakan di ladang ini," katanya semasa sidang media di Pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Rabu.
Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar memberitahu, hasil pertemuan itu juga, pihak ladang menyatakan terdapat lima hingga enam penternak haiwan itu yang menduduki tanah tersebut secara tidak sah.
Sehubungan itu, tegas beliau, satu notis rasmi dikeluarkan kepada penternak bagi mengarahkan mereka memindahkan semua haiwan itu selewat-lewatnya pada 31 Januari depan.
"Jika arahan itu gagal dipatuhi, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada pihak berkenaan mengikut peraturan ditetapkan," ujar beliau.
Beliau memberitahu, isu lembu berkeliaran membimbangkan kerana ia membabitkan keselamatan penduduk setempat terutama beberapa kes kemalangan sehingga meragut nyawa dilaporkan sebelum ini.
Kata beliau, kumpulan haiwan itu didapati sering menceroboh kawasan sekitar Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam serta beberapa laluan jalan utama dari Bagan Terap ke Sepintas.
"Keadaan ini menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya sekali gus menimbulkan keresahan penduduk Sabak Bernam," ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya mencadangkan lokasi alternatif sementara seperti di Sungai Lang dan Tebuk Jawa bagi menempatkan haiwan ternakan tersebut.
Selain itu, katanya, penternak dinasihatkan memohon tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL) daripada kerajaan negeri sebagai penyelesaian jangka panjang.
Sehubungan itu, Rizam meminta semua pihak terutama penternak mematuhi peraturan dengan menjaga ternakan menerusi kaedah betul seperti ditambat dan diikat bagi mengelak haiwan berkenaan berkeliaran di kawasan umum.
Sinar Harian pada 9 Februari lalu melaporkan, kerajaan Selangor tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penternak yang membiarkan ratusan lembu menceroboh kawasan HTAJ Sabak Bernam.
Rizam memaklumkan, haiwan ternakan itu dikesan berkeliaran di kawasan hospital itu pada waktu malam dan dibiarkan meragut kawasan rumput di kawasan lapang hospital berkenaan.