SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerbitkan laporan mengenai rundingan awam berhubung draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.
SKMM dalam satu kenyataan berkata, sesi rundingan yang berakhir pada 5 November itu memohon maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk penyedia perkhidmatan, pemain industri dan orang awam.
Menurutnya, rundingan tersebut dibuat bagi mendapatkan pandangan untuk memperhalusi dan menambah baik draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) sebelum penerbitannya sebagai amalan terbaik industri menjelang 1 Januari 2025.
"Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) bertujuan memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan terjamin untuk semua rakyat Malaysia dengan fokus spesifik kepada perlindungan kanak-kanak serta golongan rentan.
"Suruhanjaya menghargai maklum balas yang diterima semua pihak. Pandangan mereka membantu untuk memastikan ia jelas, fleksibel dan praktikal.
"Walaupun versi akhir Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) akan diterbitkan dalam masa terdekat, laporan rundingan awam yang kini tersedia memberi gambaran keseluruhan tentang maklum balas yang diterima,” katanya pada Rabu.
Sebelum ini dilapor, SKMM memulakan rundingan awam mengenai draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) bermula dari 22 Oktober hingga 5 November.
SKMM berkata, rundingan berkenaan merupakan susulan pengenalan kerangka pelesenan untuk perkhidmatan pesanan internet dan perkhidmatan media sosial yang diwartakan 1 Ogos lalu yang bakal berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.