Penganggur diberkas cuba 'curi-curi' rakam bawah kain

Iklan
Tangkap layar perbuatan seorang lelaki dipercayai cuba merakam dari arah bawah terhadap wanita di sebuah pasar raya di Jenjarom, Kuala Langat, baru-baru ini.

KUALA LANGAT - Seorang penganggur diberkas dipercayai merakam serta melakukan gangguan seksual di sebuah pasar raya di Jenjarom baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan dijalankan susulan laporan diterima berkaitan kejadian.

Iklan
Iklan

"Siasatan membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berumur 30-an dan soal siasat dijalankan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan.

"Siasatan turut mendapati suspek mengaku kali pertama melakukan perbuatan sedemikian," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan

Katanya, suspek kini direman dua hari untuk siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis memburu seorang lelaki berkaitan kes rakam dan gangguan seksual di sebuah pasar raya di Jenjarom di sini.

Laporan kes itu diterima pihaknya pada jam 10.36 pagi, 9 Disember lalu oleh mangsa yang juga wanita warga tempatan.

Mangsa melaporkan bahawa telah menyedari dirakam oleh seorang lelaki tempatan dan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati suspek telah mengangkat kainnya dan cuba merakam dari bawah.