Semak pencalonan, penganugerahan secara berkala elak salah guna kuasa

Iklan
Kerajaan perlu melaksanakan semakan berkala terhadap proses pencalonan dan penganugerahan gelaran elak salah guna kuasa. Foto hiasan

SHAH ALAM - Kerajaan atau pihak berwajib perlu melaksanakan semakan berkala terhadap proses pencalonan dan penganugerahan gelaran seperti datuk seri kepada individu bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan salah guna kuasa.

Pengerusi Gerakan Belia 4B(M) Pulau Pinang (GB4B), Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, ia bertujuan mengekang pemberian gelaran yang tidak mengikut prosedur atau dipengaruhi unsur rasuah.

Iklan
Iklan
Mohamad Nazri

Menurutnya, satu garis panduan yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap pencalonan dinilai berdasarkan merit dan sumbangan calon kepada negara.

"Semakan berkala ini penting untuk mengekalkan integriti sistem penganugerahan serta memastikan gelaran yang diberi benar-benar mencerminkan pencapaian penerimanya.

Iklan

"Tindakan tegas seperti penjara seumur hidup wajar diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan atau salah guna kuasa dalam proses ini.

"Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patut memantau sebarang bentuk ketidakpatuhan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, seorang pengurus syarikat direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Isnin kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM375,000 daripada seorang individu bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri dari sebuah negeri dua tahun lalu.

Perintah reman bermula Selasa hingga Khamis ini dikeluarkan oleh Majistret Nabilah Nizam terhadap suspek berusia 54 tahun itu.

Tambah Mohamad Nazri, selain hukuman penjara, tindakan penarikan semula gelaran haram itu wajib dilaksanakan bagi dijadikan pengajaran kepada orang lain.

Ujarnya, besar harapan agar usaha berkenaan dapat mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap sistem penganugerahan negara serta memastikan gelaran kehormat seperti datuk seri terus dihormati dan tidak disalahguna.