Merokok di restoran: Tok Mat akui silap, jadikan pengajaran

Iklan
Tular gambar yang memaparkan seorang individu dipercayai Tok Mat merokok di sebuah restoran.

BARU-BARU ini tular di media sosial selepas pengguna X memuat naik foto yang memaparkan individu dipercayai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sedang memegang rokok bersama sekumpulan lelaki.

Berdasarkan foto tular itu, Timbalan Presiden UMNO itu didakwa merokok di salah sebuah kedai makan di Seremban, Negeri Sembilan.

Iklan
Iklan

Perkara tersebut mencetuskan polemik dan kemarahan orang ramai lebih-lebih lagi apabila melibatkan individu dikenali ramai dan salah seorang pemimpin negara.

Bukan itu sahaja, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini juga menegaskan bahawa tiada sesiapa yang terlepas daripada undang-undang Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) jika merokok dalam restoran.

Iklan

Orang ramai menuntut agar Kementerian Kesihatan (KKM) bersikap tegas terhadap mana-mana pesalah seperti dijanjikan Dzulkefly tanpa memilih kasih memandangkan ia individu yang berjawatan.

Malah, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut menggesa KKM supaya mengenakan denda maksimum kepada perokok termasuk golongan kenamaan dan pemimpin negara yang merokok di kawasan larangan.

Iklan

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, tiada mana-mana pihak boleh dikecualikan daripada undang-undang yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Dzulkefly memaklumkan, pegawai diberi kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban diarahkan untuk berjumpa Mohamad bagi menyerahkan notis kesalahan itu.

Sehubungan itu, Mohamad tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak sekiranya isu tersebut menjadi kerisauan awam dan dalam masa sama, beliau turut mengesahkan telah menerima notis kesalahan berkenaan.

Walaupun isu tersebut menggusarkan ramai pihak, namun tindakan Mohamad yang tampil memohon maaf tanpa berselindung dan mengakui kesilapan diri wajar diberikan pujian serta pengajaran kepada semua pihak.

Hal ini membuktikan kerajaan menampilkan ketegasan dalam undang-undang yang perlu dipatuhi seluruh masyarakat tanpa ‘memilih bulu’ dan bersikap adil meskipun ia melibatkan pemimpin negara.

Justeru itu, isu tersebut tidak sepatutnya berterusan dijadikan polemik dan diharapkan agar ia menjadi iktibar kepada orang lain supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa depan.