Sebar keganasan rumah tangga di media sosial

Iklan
Kisah konflik rumah tangga sering menjadi carian paling popular terutamanya di media sosial, malah bukan hanya melibatkan selebriti tetapi kisah masyarakat umum turut mendapat perhatian. Gambar hiasan (Gambar kecil dari kiri: Arif Aiman, Shafiqa Zafirah, Mohammad Aliff Iskandar, Nurin Mirza)

KISAH konflik rumah tangga sering menjadi carian paling popular terutamanya di media sosial, malah bukan hanya melibatkan selebriti tetapi kisah masyarakat umum turut mendapat perhatian.

Pelbagai hantaran berkaitan konflik keluarga telah didedahkan dan secara tidak langsung juga menyumbang kepada trend bagi golongan belia serta dewasa berhubung isu ini tanpa memikirkan risiko yang akan berlaku.

Iklan
Iklan

Perunding Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh berkata, komunikasi merupakan kunci utama menyelamatkan rumah tangga kerana ia berfungsi sebagai medium untuk mengetahui segala isi yang terbuku di hati.

Rentetan itu, pelbagai maklum balas diterima berhubung isu keganasan rumah tangga yang menjadi perdebatan dalam kalangan rakyat sama ada kes dialami perlu disebarkan di media sosial ataupun tidak.

Iklan

Ada yang menyokong dan sebaliknya, namun masing-masing mempunyai hujah serta pandangan tersendiri.

Sokong

Cara mangsa untuk selamatkan diri

Iklan

Saya bersetuju sekiranya mangsa keganasan rumah tangga menyebarkan mengenai penganiayaan yang terjadi kepada mereka.

Saya berpendapat, ia mungkin terpalit dengan dakwaan membuka aib tetapi jika itu sahaja cara untuk mendedahkan perkara yang dilakukan oleh pelaku zalim, adakah masih dianggap mengaibkan?

Dengan syarat, mangsa harus mengikuti saluran yang betul sebelum mendedahkan di media sosial, contohnya dengan membuat aduan kepada pihak polis terlebih dahulu.

Saya percaya, mangsa keganasan rumah tangga ini tidak berniat untuk mengaibkan pelaku sama ada suami atau isteri, tetapi mereka bertindak sedemikian kerana beberapa faktor yang kuat.

Faktor keselamatan diri dan anak-anak memainkan peranan penting dalam hal ini, jadi, jika masyarakat masih menganggap isu ini sebagai membuka aib, lebih elok sekiranya kita menadah telinga untuk mendengar keluhan mangsa yang dizalimi.

Kita tidak mahu mangsa terutama wanita yang selayaknya dilindungi dan disayangi menjadi mangsa sepak terajang suami dayus sehingga mampu menyebabkan kematian. - Eksekutif televisyen, Arif Aiman Ahmad Lela, 35

Media sosial medium paling efektif

Saya berpendapat menyebarkan keganasan rumah tangga di media sosial merupakan salah satu cara paling efektif untuk mendapatkan perhatian dan keadilan bagi mangsa yang dizalimi.

Ini bukan berkenaan mengaibkan pelaku, tetapi lebih kepada untuk menyebarkan kesedaran kepada masyarakat dan menamatkan penderitaan mangsa.

Saya dapat melihat satu trend pada masa kini yang mana media sosial menjadi agen penggerak kepada pihak bertanggungjawab untuk bertindak terhadap sesuatu kes yang tular.

Ini menunjukkan bahawa tanpa tekanan atau pendedahan umum, ia mungkin tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak berkuasa.

Perkara tersebut adalah satu diskriminasi terhadap mangsa.

Jadi saya sangat bersetuju sekiranya media sosial menjadi platform penyebaran kerana ia dapat mempercepatkan proses keadilan terhadap mangsa sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung isu tersebut. - Pekerja swasta, Shafiqa Zafirah Mohd Zainuddin, 26

Bangkang

Berdosa jika sebar aib pasangan

Saya tidak setuju sekiranya seorang mangsa bertindak menyebarkan perihal keganasan rumah tangga di media sosial kerana perkara tersebut ibarat membuka pekung si pelaku sendiri serta rumah tangganya.

Dalam Islam, membuka aib seseorang, apatah lagi pasangan sendiri dianggap sebagai dosa tanpa mengira niat kita.

Sebagai seorang suami saya berpendapat, dosa yang dilakukan itu bukan hanya tertumpu pada niat, tetapi tindakan membuka aib orang lain secara terbuka.

Jika sekiranya tiada jalan lain dan mangsa sudah tidak tahan serta mahu melaporkan kepada pihak berkuasa seperti menunjukkan bukti yang boleh membawa ke arah perceraian, ia dibolehkan.

Namun, jika mangsa menyebarkan aib di media sosial hanya untuk menunjukkan keburukan pasangan tanpa tujuan yang sah, itu adalah tidak boleh dan perlu dielakkan.

Bagi saya, seeloknya jika suami dan isteri itu berkomunikasi secara aman serta elakkan perkara menyebarkan aib yang berlaku dalam urusan rumah tangga. - Jurutera Perisian, Mohammad Aliff Iskandar Mohd Zaid, 24

Ganggu keharmonian rumah tangga

Saya berpendapat, masalah rumah tangga seeloknya dibincang secara privasi oleh pasangan dan tidak perlu disebarkan ke pengetahuan awam.

Ia kerana pendedahan masalah rumah tangga secara terbuka mampu memberi kesan yang amat buruk terhadap keharmonian hubungan antara suami dan isteri.

Masalah sepatutnya diselesaikan secara tertutup dan melalui perbincangan teliti antara pasangan atau dengan bantuan pihak ketiga yang profesional seperti kaunselor serta pihak berkuasa.

Pendedahan kepada media sosial bukan sahaja membuka aib tetapi juga mewujudkan tanggapan buruk masyarakat terhadap pasangan yang dituduh.

Perkara itu juga membuka ruang untuk orang luar memberikan pendapat dan campur tangan yang mungkin hanya memburukkan keadaan.

Saya berani katakan bahawa tidak mustahil pendedahan oleh mangsa di media sosial itu mampu mencetuskan perasaan malu, rasa tidak dihormati atau dendam antara pasangan yang menjadikan penyelesaian masalah menjadi lebih sukar.

Lebih baik isu ini ditangani secara bijak dan penuh pertimbangan serta memberi ruang untuk kedua-dua pihak berusaha memperbaiki hubungan dengan lebih baik.- Pembuat kek, Nurin Mirza Yusof, 27