Pengekalan penarafan stabil makroekonomi negara

Iklan
Fitch Ratings (Fitch) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB dengan tinjauan ‘Stabil’. Mohamad Khair Afham (kiri)

SHAH ALAM - Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia memberi impak signifikan kepada ekonomi negara terutama dari segi kestabilan makroekonomi dan keyakinan pelabur.

Penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berkata, penarafan itu menjadi isyarat penting kepada pihak berkepentingan global bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berhadapan dengan cabaran seperti ketidaktentuan pasaran kewangan, kenaikan kadar faedah global dan perubahan iklim terhadap sektor tertentu.

Iklan
Iklan

"Dari sudut keyakinan pelabur, penarafan stabil ini memberi mesej bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan yang selamat dan stabil. Pelabur asing akan melihat Malaysia sebagai lokasi strategik untuk melabur, terutamanya dalam sektor utama seperti teknologi, pembuatan dan tenaga hijau.

"Tambahan pula pelabur institusi besar seperti dana pencen dan bank pelaburan cenderung memilih negara dengan penarafan kredit yang baik untuk melabur dalam sekuriti kerajaan serta projek infrastruktur,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Fitch Ratings (Fitch) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB dengan tinjauan ‘Stabil’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia itu merupakan satu pengiktirafan terhadap kemajuan ekonomi negara seperti aspirasi di bawah kerangka Ekonomi Madani.

Iklan

Tambah Mohamad Khair Afham, kos pinjaman yang rendah turut menjadi salah satu kesan positif penarafan berkenaan.

Ujarnya, dengan pengekalan tersebut, Malaysia boleh mendapatkan akses kepada pembiayaan antarabangsa pada kadar faedah yang lebih kompetitif.

"Ini penting untuk projek pembangunan utama yang memerlukan dana besar seperti infrastruktur jalan raya, pengangkutan awam dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.