Ayda Jebat kurang selesa cara peminat ajak bergambar, gomol anak

Iklan
Ayda tidak bersetuju dengan cara pelik peminat pada masa kini yang mendekatinya untuk menyapa mahupun bergambar. Foto ASTRO

PENYANYI dan pelakon, Ayda Jebat tidak bersetuju dengan cara pelik peminat pada masa kini yang mendekatinya untuk menyapa mahupun bergambar.

Ujar Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 32, dia seronok kerana disayangi ramai, namun merasakan peminat perlu ada sedikit batas dan tidak bertindak keterlaluan hanya kerana mahu bergambar.

Iklan
Iklan
Ayda bersama suami dan anak-anak tersayang.

"Ada yang terus tepuk belakang saya ketika bergambar dan baru-baru ini, ada seorang lelaki yang tiba-tiba menerjah saya, ambil gambar dan terus berlalu.

"Perlakuan itu membuatkan saya terpinga-pinga dan adakalanya bimbang. Itu belum lagi yang terus datang memeluk dan mencium pipi saya.

Iklan

"Sejujurnya saya seronok disayangi ramai tetapi bagi saya tindakan mereka terlalu ekstrem. Maaf cakap, rasa kurang adab," katanya.

Ayda berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Countdown Istimewa MeleTOP 2025 di Astro Bukit Jalil pada Selasa.

Iklan
Antara penyanyi lain yang akan memeriahkan Countdown Istimewa MeleTOP 2025. Foto ASTRO

Tambah Ayda, dia berkongsi perkara itu bukan kerana mahu meletakkan 'papan pemisah' sebaliknya hanya berharap peminat memahami situasi.

Bukan itu sahaja, isteri Nabil Mahir itu turut berharap peminat tidak sewenang-wenangnya menggomol atau mencium kedua-dua anaknya.

"Bukan itu sahaja, anak sulung saya, Nayla turut jadi perhatian dan bila orang jumpa, orang terus nak peluk dan cium dia. Bukan hanya risaukan kesihatan dia, tetapi dia sendiri tidak selesa. Nayla pun sudah kenal orang, jadi bukan sewenangnya dia mahu dipeluk atau dicium.

"Jadi apa patut saya lakukan? Saya takut bila cakap bunyinya jadi kasar," luah Ayda.

Apa yang membuat Ayda bertambah kesal apabila ada yang menyifatkan dia perlu menerima keadaan itu kerana sudah menjadi milik masyarakat dan tidak kurang menyarankannya untuk menyimpan anak-anak di rumah sahaja.

"Sampai bila saya nak kurung anak-anak di rumah? Saya pun nak juga keluar luangkan masa dengan anak.

"Cuma bila berjumpa kami, perlulah ada cara tegur untuk bergambar. Lima tahun lalu, tidak timbul isu sebegini, hanya sekarang baru saya menghadapi dan ia bukan melibatkan peminat yang lebih muda, tetapi juga yang sudah berusia," katanya yang menolak untuk mengupah pengawal peribadi.

Dalam pada itu, berkongsi penglibatannya dalam konsert Countdown Istimewa MeleTOP 2025, Ayda berkata, dia diberi kepercayaan sebagai persembahan pembukaan.

Katanya, dia akan menyampaikan beberapa lagu popular pada tahun 2024 dengan gaya persembahan sama yang dilakukan dalam The Hardest Singing Show.

"Sejak sertai program itu, memang banyak permintaan untuk saya buat persembahan sama, ada melompat, tergantung.

"Cuma saya lihat juga pada kesesuaian dan keselamatan. Kalau semuanya terjamin, saya tiada masalah untuk lakukan," ujarnya.