Keputusan pengadil beri penalti kepada JDT tepat - FAM

Iklan
Pemain JDT Juan Muniz Gallego mengelak terjahan pemain Sri Pahang FC Adam Nor Azlin pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

KEPUTUSAN pengadil memberikan sepakan penalti kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan tiga kad kuning kepada Sri Pahang FC dalam perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa adalah tepat.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram menegaskan, keputusan dibuat pengadil dan pengadil VAR itu berpandukan undang-undang permainan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan protokol Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

Iklan
Iklan

"Keputusan untuk pemberian sepakan penalti pada minit 90' 4 (kepada JDT) dan layangan tiga kad kuning (kepada Sri Pahang) dalam perlawanan tersebut adalah tepat dan dibuat berpandukan undang-undang permainan FIFA dan protokol VAR.

"Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa menyeluruh berkaitan dengan perlawanan tersebut dan mendapati pengadil dan pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang cemerlang," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Sebelum ini, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mempertikaikan beberapa keputusan pengadil termasuk pemberian sepakan penalti kepada JDT selepas pasukannya tewas 1-3 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, badan induk itu sentiasa mengutamakan persembahan prestasi pengadil yang cemerlang dan tidak berkompromi dalam kualiti pengadil.

Iklan

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan FAM telah menyediakan program-program pemurnian dan pemulihan untuk pengadil-pengadil Liga Malaysia demi memastikan kualiti kepengadilan di negara ini sentiasa dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

Malah, FAM dan MFL telah menjalankan taklimat undang-undang perlawanan dan protokol VAR untuk ke semua pasukan yang bertanding di Liga Malaysia musim ini.

"Ia dijalankan dengan objektif untuk memberi pendedahan dan pemahaman tentang pengendalian dan penggunaan teknologi VAR dalam Liga Malaysia 2024-2025.

"Setakat ini sebanyak 141 perlawanan telah dilangsungkan yang menggunakan teknologi VAR. Situasi ini seharusnya telah memberi ruang yang baik bagi setiap pasukan yang terlibat dalam Liga Malaysia untuk memahami protokol VAR," ujarnya.