PEMINAT bola sepak terutama penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) pasti tertanya-tanya apakah yang sedang dirancang Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Qatar Sport Investment dan Presiden Paris Saint-Germain, Nasser Al-Khelaifi.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT selepas pertemuan tersebut menyatakan sesuatu yang besar akan berlaku tidak lama lagi menerusi satu kenyataan di laman media sosial baginda.
"Adalah satu penghormatan dapat bertemu dengan Pengerusi Qatar Sport Investment dan Presiden Paris Saint-Germain, Nasser Al-Khelaifi.
"Sesuatu yang besar akan berlaku tidak lama lagi. Sesuatu yang belum pernah kami lakukan sebelum ini. Alhamdulillah," kata baginda.
Baginda sedang berada di Doha, Qatar untuk beberapa siri mesyuarat termasuk bersama individu terkenal dan berjaya dalam dunia bola sepak.
Sebelum ini, baginda telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways, Badr Mohammed Al-Meer dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Tunku Mahkota Ismail juga ketika ini sedang menguruskan projek skuad kebangsaan selepas pengumuman pelantikan dua individu penting oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih bawah 23 tahun (B-23) negara.
Ia akan disusuli dengan pengumuman lain termasuk beberapa jawatan dalam pengurusan Harimau Malaya yang akan diumumkan dalam masa terdekat.